Panasonic Nafi Kilang Tutup, Sanggah Berita Palsu Malaysiakini

Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd menafikan laporan berita palsu Malaysiakini kononnya kilang di Shah Alam akan ditutup. Foto Arkib.
SHAH ALAM, 1 Jun – Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd menafikan laporan syarikat itu akan menutup operasi beberapa kilangnya di Malaysia.
Panasonic berkata, pihak syarikat hanya menutup dua jabatan pembuatan produk di kilang Shah Alam 1 (SA1) selepas melengkapkan proses rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan, pada 1 Mac.
“Tiada kilang atau jabatan lain selain yang dinyatakan terkesan,” katanya dalam kenyataan.

Gergasi pembuatan barangan elektrik dan elektronik itu, berkata ada pekerja terkesan susulan penutupan jabatan ditawar skim pemisahan secara bersama (MSS) dengan sebahagian besar mereka secara sukarela memilih pilihan ditawarkan.
“Pekerja memilih MSS menerima pakej pampasan adil dan saksama yang mana lebih tinggi daripada norma industri.
“Baki pekerja tidak memilih MSS, jabatan sumber manusia kami menyediakan mereka tawaran dipindahkan ke jabatan relevan dalam Panasonic Malaysia, berdasarkan kemahiran dan potensi untuk berkembang.”
Awal hari ini, portal berita bermasalah, Malaysiakini melaporkan kononnya kilang Panasonic SA1 akan ditutup, manakala kilangnya di Melaka juga akan dihentikan operasi penghujung tahun ini.
