BRICS 2026: PM Anwar Mulakan Misi Diplomatik Bertemu Presiden Putin Di New Delhi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Hotel ITC Maurya, New Delhi pada 11 September 2026. Foto Bernama
NEW DELHI, 11 Sep – Seakan tidak mengenal erti penat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja tiga hari ke India dengan mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di di Hotel ITC Maurya, di sini pada jam 9 malam waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia).
Menempuh perjalanan jauh lebih tujuh jam dari Kota Kinabalu, Sabah selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari, pesawat membawa Perdana Menteri selamat mendarat di bumi India bagi meneruskan misi diplomatik antarabangsa sempena Sidang Kemuncak BRICS ke-18 yang bermula pagi esok.

Sebaik mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam (AFS Palam) tepat jam 6.40 petang waktu tempatan (9.10 malam waktu Malaysia), Perdana Menteri terus bergerak ke hotel penginapan sebelum memulakan gerak kerja diplomasi peringkat tertinggi menerusi pertemuan dua hala bersama Putin dan delegasi kedua-dua negara.
Pertemuan berkenaan menjadi medan kritikal berintensiti tinggi susulan penerimaan rasmi Malaysia sebagai ‘Negara Rakan’ (Partner Country) BRICS dalam kalangan 10 buah negara pada 1 Januari tahun lalu, selain memperkukuh kerjasama perdagangan dua hala, keterjaminan rantaian bekalan makanan, dan sektor tenaga boleh baharu.

Kesudian Putin bertemu Anwar sebelum menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Bharat Mandapam menunjukkan betapa pentingnya hubungan akrab Russia-Malaysia terus diperkukuh serta diberi keutamaan dalam memastikan sinergi kedua-dua pemimpin selari dengan aspirasi sejagat demi kepentingan bersama.
Dalam pada itu, pertemuan Putin-Anwar dilihat sebagai isyarat penting buat dunia memerhatikan keakraban kedua-dua pemimpin sejak Anwar melakukan lawatan rasmi atas jemputan presiden itu ke negara berkenaan tahun lalu.

Seterusnya, pada Ahad nanti, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri sesi pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dan diberi penghormatan menyampaikan Kenyataan Negara mewakili Malaysia bertajuk “Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif”.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
