Isu Penempatan Haram Israel: PM Anwar Sambut Baik Pendirian 12 Negara Barat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mencerminkan perubahan yang sudah lama tertangguh dalam pendekatan beberapa negara Barat dan kini perlu disusuli pelaksanaan yang tegas.

KUALA LUMPUR, 11 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan bersama dikeluarkan Selasa lalu oleh Menteri-Menteri Luar dari 12 negara Barat berhubung langkah diambil terhadap penempatan haram Israel.

Beliau berkata, langkah itu mencerminkan perubahan yang sudah lama tertangguh dalam pendekatan beberapa negara Barat dan kini perlu disusuli pelaksanaan yang tegas.

“Negara-negara ini perlu menggunakan pengaruh diplomatik dan ekonomi mereka yang besar ke atas Israel untuk mendesak supaya perluasan penempatan dan pemindahan paksa dihentikan, selain memastikan akauntabiliti bagi kemusnahan yang dialami Gaza serta akses kemanusiaan tanpa halangan,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata beliau secara khusus mengambil maklum bahawa Britain, Kanada dan Perancis akan memperkenal langkah-langkah bagi menyekat perdagangan barangan dari kawasan penempatan haram Israel, sekali gus menyertai beberapa negara Eropah yang telahpun mengambil langkah sedemikian.

“Saya juga mengiktiraf kepentingan kenyataan dibuat Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband di Dewan Rakyat negara berkenaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata United Kingdom kini secara rasmi mengiktiraf ketidakabsahan pendudukan Israel secara keseluruhan selain mengakui bahawa pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin sedang berlaku di beberapa kawasan di Tebing Barat oleh pihak yang disebut dengan tepat oleh Miliband sebagai “peneroka yang melakukan keganasan.”

Menteri Luar Britain, Ed Miliband berkata, Britain tidak boleh lagi sekadar ‘menegur’ ketidakadilan dan penderitaan yang berlaku sebaliknya perlu ‘bertindak’ menentang perluasan penempatan tersebut.

“Ini adalah pengiktirafan penting yang berlandaskan undang-undang antarabangsa dan realiti yang dihadapi oleh rakyat Palestin,” katanya.

Anwar juga berkata beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya berganjak daripada sekadar mengeluarkan kenyataan dan melakukan langkah-langkah konkrit serta mengikat bagi menegakkan undang-undang antarabangsa, melindungi hak rakyat Palestin selain mewujudkan keamanan yang adil serta berkekalan di Asia Barat.

Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol, Sweden dan UK mengesahkan hasrat mereka untuk memperkenal sekatan peringkat kebangsaan dan/atau menyokong sekatan Eropah terhadap perdagangan barangan dengan penempatan haram di bawah undang-undang antarabangsa, atau sedang menimbang langkah-langkah ini dan langkah-langkah lain secara aktif selaras dengan prosedur negara masing-masing. – Bernama

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *