MCMC Tolak Dakwaan Manipulasi Sentimen Politik

MCMC menegaskan, pihaknya mengambil maklum berkenaan laporan itu dan memandang serius perkara yang dibangkitkan. Foto MCMC

CYBERJAYA, 11 Sep – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menolak dakwaan pihaknya terbabit dalam sebarang aktiviti mempengaruhi sentimen politik seperti didakwa dalam laporan sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat hari ini, MCMC menegaskan, pihaknya mengambil maklum berkenaan laporan itu dan memandang serius perkara yang dibangkitkan.

“Untuk penjelasan, aktiviti seumpama yang dinyatakan dalam laporan itu bukan sebahagian daripada fungsi atau bidang kuasa MCMC dan MCMC tidak terbabit dalam aktiviti atau pengaturan sedemikian,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang disiarkan pada 11 September 2026. Foto MCMC

Terdahulu, Anthropic mendakwa Malaysia menjadi sasaran operasi manipulasi komersial berasaskan AI yang membabitkan lebih 1,000 akaun palsu di platform X, data pengundi serta sistem penyasaran berdasarkan kawasan pilihan raya bagi mempengaruhi sentimen politik.

Syarikat yang mengendalikan platform Claude itu berkata, operasi berkenaan dikesan selepas pihaknya mengenal pasti satu akaun yang menggunakan platform AI berkenaan untuk memanipulasi pilihan raya dengan menyasarkan pengguna di Malaysia.

Dalam pada itu, MCMC berkata, pihaknya sedang meneliti laporan berkenaan dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi menentukan fakta serta menilai perkara yang dibangkitkan.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam bahasa Inggeris yang disiarkan pada 11 September 2026. Foto MCMC

“Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan maklumat dan bukti yang tersedia serta dalam bidang kuasa MCMC, dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan sekiranya perlu,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata, usaha melindungi orang awam dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi antara tanggungjawab utamanya.

“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat serta dipercayai untuk Malaysia,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *