Xiamen Airlines Sambung Semula Penerbangan Ke Kota Kinabalu

Christina Liew ketika merasmikan Bayu Seni: Pameran Digital Rentas Budaya Etnik Sabah yang julung kali diadakan di Pusat Beli Belah Imago, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU, 28 Mei – Syarikat penerbangan di China, Xiamen Airlines akan menyambung semula laluan ke Kota Kinabalu berkuatkuasa 27 Jun akan datang.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, penerbangan langsung itu disambung semula selepas terhenti akibat berlakunya pandemik COVID-19 di seluruh dunia.
“Selain itu, Shanghai Airlines juga akan melancarkan penerbangan berjadual mereka dari Shanghai terus ke Tawau bermula 28 Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bayu Seni: Pameran Digital Rentas Budaya Etnik Sabah yang julung kali diadakan di Pusat Beli Belah Imago, di sini semalam.
Menurutnya, majlis itu adalah untuk meraikan penggabungan bakat seni, budaya, teknologi dan inovasi di seluruh wilayah Kawasan Pertubuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA).
Christina berkata, pihaknya menzahirkan terima kasih kepada BIMP-EAGA kerana memberikan sokongan berterusan mempromosikan kerjasama serantau dan pertukaran budaya di negeri ini.
“BIMP-EAGA telah memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran Bayu Seni ini dan dapat menghimpunkan bakat-bakat baharu dari pelbagai negara,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan majlis ini sangat penting sejajar dengan bulan Pesta Kaamatan yang merupakan satu penghormatan bagi budaya unik di Sabah.
“Kita berhasrat mahu menonjolkan bakat seni Sabah bersama negara-negara BIMP-EAGA supaya semua saling menghargai warisan budaya yang ada.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pusat Beli Belah Imago kerana menyediakan tempat untuk acara ini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
