Projek Pembangunan Bukti Keprihatinan Kerajaan Di Merotai

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah pada majlis pecah tanah Dewan Anak Merotai di Tawau pada 29 September 2025. Foto Pejabat Penerangan Daerah Tawau
TAWAU, 29 Sep – Kelulusan beberapa projek pembangunan di kawasan Merotai membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan kebajikan rakyat luar bandar terus diberi perhatian.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah, berkata Merotai yang sebelum ini kurang mendapat perhatian kini semakin membangun hasil kelulusan beberapa projek penting.
Katanya, antara projek yang diluluskan ialah pemasangan lampu jalan LED solar bernilai RM2.9 juta dan pembinaan Dewan Anak Merotai dengan kelulusan awal RM2 juta.

“Kos sebenar pembinaan dewan ini dianggarkan RM3.5 juta.
“Namun, kelulusan awal ini membuktikan komitmen kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, untuk membangunkan kawasan luar bandar,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan Dewan Anak Merotai, di sini, semalam.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Liew yang juga Naib Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan bukan sekadar janji politik semata-mata.
“Sudah lebih 80 tahun Merotai menanti perubahan. Hari ini rakyat sendiri menyaksikan usaha kerajaan dalam membawa pembangunan ke kawasan ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memohon peruntukan tambahan RM500,000 bagi membina Tapak Tamu Merotai sebagai usaha merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Katanya, pembangunan infrastruktur luar bandar bukan sahaja memberi keselesaan, malah membuka peluang perniagaan kepada golongan usahawan kecil.
“Ini bukti bahawa kerajaan tidak hanya menumpukan kepada pembangunan fizikal, tetapi turut memberi fokus kepada aspek ekonomi rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya, Liew turut menyeru generasi muda Merotai supaya bersedia menjadi pemimpin pada masa hadapan serta tidak terlalu bergantung kepada orang luar.
“Sudah tiba masa anak jati Merotai sendiri bangkit dan membawa suara kampung ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
