Harga RON95 Tanpa Subsidi Ditetapkan RM2.60 Seliter

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meninjau pembelian RON95 BUDI MADANI95 di Labuan pada 28 September 2025. Foto Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 29 Sep – Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan pada Isnin, MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

“Dengan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menetapkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 pada RM1.99 seliter untuk warganegara Malaysia yang layak mulai 30 September 2025, kerajaan menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter,” menurut kenyataan itu.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying turun padang melakukan pemantauan BUDI MADANI95 di Butterworth pada 28 September 2025. Foto Kementerian Kewangan

MOF memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula ditetapkan pada RM2.05 seliter bagi tempoh sama.

Sementara itu, harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter bagi tempoh berkenaan.

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal RM2.93 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada paras RM2.15 seliter.

Penjimatan yang diperolehi hasil daripada penyasaran subsidi RON95 membantu kerajaan menambah baik bantuan seperti SARA dan STR termasuk kepada anggota polis. Foto Polis Daerah Iskandar Puteri

Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Bernama

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *