BUDI95: Stesen Minyak ‘Diserbu’ Mulai Tengah Malam Tadi

Pasangan suami isteri di Johor Bahru berpuas hati menikmati pengalaman menggunakan sistem baharu BUDI95 dengan harga cuma RM1.99 seliter. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Sep – Mulai tengah malam tadi, stesen minyak kelihatan ‘meriah’ dengan keterujaan merasai pengalaman pertama mengisi minyak dengan harga baharu RM1.99 yang lebih menjimatkan.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak di ibu negara mendapati ramai pengguna “setia” menunggu detik 12 tengah malam bagi menjadi antara yang terawal menerima manfaat berkenaan.

Petugas stesen minyak juga bersiap sedia membantu pengguna sekiranya menghadapi masalah transaksi ekoran pertambahan mendadak pengguna yang mahu mencuba sistem berkenaan buat kali pertama.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan meninjau pembelian RON95 BUDI MADANI95 di Labuan pada 28 September 2025. Foto Kementerian Kewangan

Kumpulan seramai 16 juta rakyat Malaysia yang layak mula menikmati manfaat inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) lantas memberikan kelegaan kepada orang ramai terhadap perbelanjaan harian.

Menurut seorang pengguna, Safiyyah Affandi, 32, yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata proses pengisian petrol sangat mudah dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah.

Pendapat sama diakui Amirul Hakim, pengacara media sosial berusia 22 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor, yang berkata dia hanya mengambil masa kurang dua minit untuk mengisi minyak ke dalam kenderaannya.

Pengguna di Ipoh, Perak antara yang terawal mencuba sistem BUDI95 tengah malam tadi. Foto Bernama

“Sangat mudah, tak sampai dua minit sudah selesai,” katanya yang menetap di ibu negara.

Manakala seorang pereka bentuk model mainan, Oh Jee Shyan, 42, sanggup menunggu hingga detik tengah malam bagi menjadi antara yang pertama menikmati subsidi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Oh yang membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk petrol berkata menerusi BUDI95, dia dapat menjimatkan lebih kurang RM12 bagi setiap kali isian, seterusnya membantu mengurangkan kos bulanan.

Inisiatif itu menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Penjimatan yang diperolehi hasil daripada penyasaran subsidi RON95 membantu kerajaan menambah baik bantuan seperti SARA dan STR termasuk kepada anggota polis. Foto Polis Daerah Iskandar Puteri

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September bermula dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad lalu.

Menurut Kementerian Kewangan, hampir 20 peratus daripada keseluruhan anggota ATM dan PDRM telah melakukan transaksi BUDI95 pada hari pertama pelaksanaannya, dengan jumlah pembelian RON95 bernilai RM3.7 juta direkodkan sehari selepas diperluas kepada penerima STR.

BUDI95 menawarkan kaedah transaksi mudah kerana hanya memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk pengesahan kelayakan secara automatik, manakala pembayaran boleh dibuat menggunakan aplikasi dompet digital pilihan.

Selain memberikan manfaat terus kepada rakyat, inisiatif itu dijangka menyumbang kepada keseimbangan fiskal negara dengan penjimatan subsidi yang boleh disalurkan semula kepada sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial.

Tinjauan di stesen minyak di sekitar ibu kota dan beberapa negeri tengah malam tadi “agak meriah” berikutan peluasan inisiatif BUDI95.

Mahu menjadi antara yang terawal menerima manfaat BUDI95 menyebabkan ada yang baru tamat kerja syif malam dan ada juga yang sengaja menunggu detik tengah malam di stesen minyak untuk menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Kemudahan itu benar-benar menyenangkan dan membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mesra rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *