Negeri Sembilan Teruskan Projek Tebatan Banjir Sungai Linggi Fasa Lima

SEREMBAN, 24 Jul – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Linggi di Negeri Sembilan dijangka diteruskan ke fasa lima pada tahun hadapan membabitkan peruntukan kira-kira RM200 juta bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih menunggu kelulusan dan peruntukan dari kerajaan Persekutuan bagi projek berkenaan.


“Sungai Linggi sudah dinaik taraf sehingga fasa empat, sekarang sedang menunggu kelulusan untuk fasa lima dan Insya-Allah akan dimulakan pada tahun hadapan.


“Fasa lima itu melibatkan proses naik taraf dari Kuala Sawah, Rembau hingga Jalan Pantai, Seremban sepanjang 20 kilometer (km) bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan seperti Rasah dan Rahang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Persatuan Nan Yang Yap Si Malaysia di sini hari ini.


Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas dilaporkan berkata projek tebatan banjir sepanjang 27 km sudah disiapkan sejak pelaksanaan RTB Sungai Linggi dari 2009 hingga 2015 dengan kos berjumlah RM86.57 juta.


Beliau berkata sepanjang 10 km lagi sedang disiapkan dalam projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Linggi fasa empat yang menelan kos RM66.6 juta.

Aminuddin mengulas mengenai kejadian banjir kilat berulang yang melanda beberapa kawasan di daerah ini petang Jumaat lalu membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Semarak dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.


Beliau berkata, sepanjang 10 km lagi sedang disiapkan dalam projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Linggi fasa empat yang menelan kos RM66.6 juta.

“Kerajaan negeri berharap kelulusan peruntukan bagi RTB itu dapat disegerakan bagi membolehkan usaha menangani banjir di kawasan penempatan pinggir Sungai Linggi dapat diatasi,” katanya.


Terdahulu, penduduk di beberapa penempatan meluahkan rasa kecewa apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat malah terdapat yang sudah tiga kali dilanda bencana itu tahun ini.

Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *