‘Tahan Rajapaksa Di Singapura’

COLOMBO, 24 Jul – Kumpulan hak asasi yang mendokumentasikan dakwaan penderaan di Sri Lanka memfailkan aduan kepada Peguam Negara Singapura.

Aduan itu difailkan bagi memohon penahanan ke atas bekas presiden, Gotabaya Rajapaksa, bagi peranannya dalam perang saudara selama beberapa dekad di negara Asia Selatan itu.

Projek Kebenaran dan Keadilan Antarabangsa (ITJP) berkata, Rajapaksa melakukan pelanggaran besar terhadap Konvensyen Geneva dalam perang saudara pada 2009 ketika memegang jawatan sebagai ketua pertahanan negara itu, berdasarkan salinan aduan.

ITJP yang berpangkalan di Afrika Selatan berhujah berdasarkan bidang kuasa sejagat, bahawa Rajapaksa tertakluk kepada pendakwaan di Singapura di mana beliau melarikan diri selepas pergolakan berbulan-bulan membabitkan krisis ekonomi negaranya.

Rajapaksa meletak jawatannya di Singapura sehari selepas melarikan diri pada 13 Julai lalu.

Penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu pejabat dan kediaman rasmi presiden dan perdana menteri.

Seorang daripada peguam yang merangka aduan itu, Alexandra Lily Kather, berkata aduan jenayah difailkan berdasarkan maklumat yang sudah disahkan terhadap jenayah yang dilakukan dan bukti mengaitkan individu yang dipersoalkan serta kini berada di Singapura.

Katanya, Singapura mempunyai peluang unik dengan aduan itu mengikut undang-undang dan dasar tersendirinya bagi menyatakan kebenaran.

Rajapaksa tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen melalui Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Singapura.

Dia sebelum ini dengan tegas menafikan dakwaan bertanggungjawab terhadap pencabulan hak ketika perang.

Kementerian luar negara itu berkata, Rajapaksa memasuki negara kota Asia Tenggara itu menerusi lawatan peribadi dan tidak meminta atau diberikan suaka.

Profesor Undang-Undang Universiti Portsmouth di Britain, Shubhankar Dam, yang pernah mengajar di Singapura berkata, walaupun mahkamah di negara itu boleh membicarakan dakwaan jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai dan penyeksaan, ia bagaimanapun berulang kali menyatakan bahawa bidang kuasa sedemikian hanya boleh digunakan sebagai jalan terakhir.

“Sebarang keputusan untuk mendakwa bekas ketua negara asing perlu diimbangi dengan objektif dasar luarnya,” katanya

– REUTERS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *