Krisis NS: Kedudukan Tuanku Muhriz Sebagai Yang di-Pertuan Besar Sah, Sempurna

Undang Luak Rembau berkata, Luak Rembau di bawah pentadbirannya kekal menjunjung, mengiktiraf dan berdiri teguh di belakang Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sambil menegaskan kedudukan baginda di atas takhta Negeri Sembilan adalah sah. Foto Media YTM Rembau
KUALA LUMPUR, 9 Sep – Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid menegaskan, perkara yang menyentuh takhta dan kedaulatan Raja Pemerintah di Negeri Sembilan tidak boleh ditentukan melalui sidang media, dakwaan lisan atau tafsiran sebelah pihak.
Beliau berkata, segala hak dan remedi Raja Pemerintah serta pentadbiran Luak Rembau termasuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya adalah dipelihara sepenuhnya.
“Kami menyeru seluruh anak-anak Luak Rembau dan rakyat Negeri Sembilan supaya terus menghormati undang-undang, adat dan institusi Diraja Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan media menerusi hantaran Facebook rasmi, semalam.

Kelmarin, berlangsung sidang media dan berlegar kenyataan didakwa sebagai Surat Cara Proklamasi menyentuh kedudukan serta penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hassan berkata, Luak Rembau di bawah pentadbirannya kekal menjunjung, mengiktiraf dan berdiri teguh di belakang Tuanku Muhriz sambil menegaskan kedudukan baginda di atas takhta Negeri Sembilan adalah sah, sempurna dan tidak tergugat oleh mana-mana dokumen, sidang media atau dakwaan sebelah pihak.
“Tidak ada sebarang keraguan dan tafsiran, itulah pendirian Luak Rembau. Kami menegaskan dokumen berkenaan cacat pada asasnya, tidak berkuat kuasa dan tidak boleh dijadikan sandaran.

“Persoalan mengenai proses, kapasiti dan pematuhan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UTKNS) 1959 masih tidak dipenuhi,” katanya.
Hassan berkata, setakat pengetahuannya, baginda tidak pernah melalui proses penyiasatan, dikemukakan pertuduhan secara formal atau diberikan ruang untuk menjawab dan mempertahankan kedudukan baginda.
Katanya, Luak Rembau menolak sekeras-kerasnya sebarang representasi oleh Abdul Rahim Yasin kerana tidak mempunyai mandat, kapasiti atau mewakili Luak Rembau. Abdul Rahim sebelum ini dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau tetapi sudah digugurkan.

“Pentadbiran kami mengambil maklum perintah mahkamah berhubung status quo perjalanan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta keputusan pengguguran Undang terdahulu dan pengesahan penyandang Undang baharu.
“Apa-apa tindakan dan persetujuan beliau atas nama Undang Luak Rembau tidak sah dan tidak mengikat Luak Rembau,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
