Penternak Perlu Pelbagaikan Pendekatan Tambah Sumber Makanan – Nurul Izzah

BALING, 24 Jul – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa para penternak mempelbagaikan pendekatan menambah sumber makanan terutama industri ternakan di negara ini.

Beliau mahu para penternak sedaya-upaya menambah kapasiti ternakan dengan kos operasi minima termasuk menggunakan sumber makanan ternakan daging seperti kambing daripada kawasan tempatan bagi menjimatkan kos.

“Bidang penternakan juga berpotensi berkembang bagi menampung permintaan tempatan namun pendekatan para pentenak harus mempelbagaikan pendekatan menambah sumber makanan dengan kos operasi minima,” ujarnya ketika ditemui di ladang Actor Agrofarm di Kuala Ketil, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min; ketua-ketua cabang KEADILAN Kedah; pengasas Actor Agrofram, Saiful Izham Ramli dan Pengarah Ayuh Malaysia, Che Zam Hamzah.
Ladang mini seluas kira-kira satu setengah ekar ini memelihara ratusan ekor pelbagai baka kambing bagi pasaran tempatan dan di luar negeri Kedah.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN menambah, para penternak boleh mengemukakan idea dan padangan kepada para pemain industri ternakan agar penambahbaikan dapat dilaksanakan dan mampu menampung permintaan tinggi bagi ternakan daging kambing pasca pandemik Covid-19.
“Mekanisme kata kunci bergantung kepada ekonomi sirkular – khususnya penggunaan campuran dedak mikroorganisme efektif (EM),” tambah Nurul Izzah lagi.

“Saya mengharapkan usaha murni yang dilakukan pihak Actor Agrofarm boleh dikembangkan secara serius dengan membuka peluang kepada anak muda tempatan yang berminat menceburi industri makanan bagi meningkatkan keupayaan sumber makanan negara selaras dengan salah satu inisiatif yang diperjuangkan oleh Ayuh Malaysia,” tambahnya.
