Nak Masuk Hutan Kena Pakai Aplikasi Di NS

SEREMBAN, 29 Jul – Negeri Sembilan akan memperkenalkan aplikasi menerusi telefon pintar bagi permohonan permit untuk menjalankan aktiviti di taman eko rimba, Hutan Taman Negeri dan gunung.

Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin, berkata aplikasi e-Permit bukan sahaja memudahkan pengunjung dan kakitangan jabatan, malah sangat efektif dalam memantau pergerakan keluar masuk orang awam.

“e-Permit satu sistem yang kami bangunkan bagi memudahkan pengunjung untuk membuat aktiviti mendaki, berkhemah dan sebagainya. Orang ramai boleh memohon melalui aplikasi yang kami sediakan.

“Kelulusan akan diberikan serta-merta dan apabila tiba di kawasan pintu masuk, pengunjung boleh membuat imbasan pada mesin yang kami sediakan dan mereka akan diberikan gegelang tangan atau ‘wristband’,” katanya.


Sebelum ini pihaknya menyediakan kemudahan permohonan kebenaran masuk ke destinasi eko-pelancongan secara dalam talian dan pengunjung perlu ke pejabat untuk mendapatkan gegelang berkenaan.

“Isu atau rungutan yang yang sering kami dengar di banyak tempat adalah sukar untuk berjumpa dengan pegawai atau pejabat ditutup dan orang awam terpaksa datang pada waktu lain.

“Aplikasi ini akan menjimatkan masa kerana mereka hanya perlu ke pintu masuk kawasan yang mahu dimasuki dan mengimbas permit yang sudah diluluskan. Ada ketika mereka datang awal pagi sedangkan pejabat hanya dibuka pada jam 6 atau 7 pagi,” katanya.

Saleh berkata, aplikasi itu akan diperkenalkan hujung tahun ini dan pihaknya sedang dalam proses uji cuba kerana perlu menambah baik beberapa kelemahan yang ada.

“Untuk permulaan, ia akan dilaksanakan di Gua Batu Maloi, PD Forest Sungai Menyala, Gunung Angsi, Gunung Datuk dan Taman Negeri Kenaboi. Untuk kawasan lain, pengunjung boleh ke pejabat hutan daerah di kawasan berkenaan.

“Mereka boleh mengimbas aplikasi itu lebih awal daripada tarikh aktiviti kerana di dalam sistem kami sudah terdapat semua maklumat. Tidak perlu risau jika diimbas lebih awal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *