Jepun Beri Kebebasan Penguasa Wilayah Kekang Covid-19

TOKYO, 29 Jul – Jepun menggalakkan pihak berkuasa wilayah bertindak balas sendiri terhadap penyebaran varian baharu coronavirus yang menyebabkan kes melonjak ke tahap rekod tanpa ada rancangan di peringkat nasional.
Gelombang ketujuh COVID-19 melonjakkan jumlah harian kes baharu di Jepun kepada 233,094 pada Khamis apabila varian virus BA.5 merebak, memberi tekanan kepada perkhidmatan perubatan dan mengganggu operasi syarikat di beberapa tempat.
Jepun tidak pernah mengenakan sekatan nasional pada skala seperti dilaksanakan beberapa negara lain, sebaliknya secara berkala menggesa orang ramai untuk tinggal di rumah semaksimum mungkin dan mengehadkan waktu operasi restoran dan bar.
Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Seiji Kihara mengulangi gesaan supaya pihak berkuasa wilayah menyesuaikan tindak balas mereka dengan situasi lebih khusus.
“Daripada tindak balas nasional, kami mahu menyokong pihak berkuasa wilayah dalam usaha mereka berdasarkan situasi tempatan,” kata Kihara pada sidang media.
“Apa yang penting ialah membantu aktiviti sosial dan ekonomi setiap wilayah.”
Osaka baru-baru ini menggesa warga emas untuk mengelakkan kehadiran di majlis yang tidak penting.
Negara dengan 125.8 juta orang itu telah melakukan pendekatan lebih baik berbanding yang lain dalam menangani pandemik yang sudah merekodkan 32,308 kematian sejak ia bermula pada awal 2020.
Bagaimanapun Jepun mempunyai jumlah kes baharu tertinggi di dunia dalam seminggu hingga 24 Julai, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia minggu ini.
Walaupun jumlah kematian dalam gelombang baharu adalah rendah berbanding sebelumnya, jangkitan baharu mula menjejaskan beberapa sektor.
Syarikat kereta api di beberapa wilayah terpaksa menyekat perkhidmatan kerana kekurangan kakitangan dan Toyota Motor Corp menggantung operasi syif malam di satu barisan pengeluaran kilang Takaoka minggu ini kerana COVID-19. – REUTERS
