‘Hantu Politik’ Tidak Boleh Lagi Melompat – Andre Lai

PENDAPAT, 29 Jul – 29 Julai 2022 menandakan bermulanya bulan 7 mengikut kalender orang Cina. Sepanjang bulan ini, masyarakat Cina akan menyambut perayaan ‘Hantu Lapar’ yang seakan sinonim dengan ‘Hantu Politik’ yang mencari ‘tuan baharu’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, bulan ini adalah yang paling mudah mencetuskan malapetaka akibat hantu yang dilepaskan ke alam manusia.

Hantu yang kelaparan selama setahun dikurung akan berkeliaran untuk mencari makanan dan menyebabkan suasana tidak tenteram kepada masyarakat terutamanya pada waktu malam.

Kebetulan, RUU Anti Lompat parti telah diluluskan sehari sebelum itu dengan persetujuan lebih daripada dua pertiga undi di Dewan Rakyat. Dengan pindaan tersebut, ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya.

Namun, ahli parlimen yang dibuang daripada parti yang mereka wakili tidak pula kehilangan kerusi.

Ahli parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat.

Bagi ahli parlimen yang menang atas tiket bebas pula, mereka yang kemudiannya menyertai sesebuah parti atau menjadi anggota gabungan juga akan kehilangan kerusi.

RUU paling panas tahun ini tercetus ekoran seramai 39 Ahli Parlimen bertukar parti semenjak 2018. Kemuncaknya, adalah pengkhianatan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020 yang menyebabkan kejatuhan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan.


Walaupun masih belum dapat dibuktikan keberkesanannya, namun pengenalan undang-undang ini adalah satu permulaan yang baik dalam membantu menstabilkan suasana politik selain diharap memulihkan kembali keyakinan rakyat untuk keluar mengundi apabila tiba masanya kelak.

Sepanjang dua tahun ini, sistem pentadbiran negara tercemar dengan gejala lompat parti sehingga mendapat tentangan orang ramai. Rampasan kuasa pada 2020 hanya menaikkan lagi suhu kemarahan rakyat terhadap ahli politik yang dikaitkan dengan moral mereka yang menjadi ‘hantu politik’ yang amat rendah.

Selain Langkah Sheraton, sejarah Malaysia turut menyaksikan tidak kurang daripada insiden yang sedemikian rupa – yang paling diingati adalah kejatuhan kerajaan PBS di Sabah pada 1986 akibat pembelotan wakil rakyat yang bertukar parti.

Pengenalan RUU ini membawa Malaysia ke landasan baru. Naratifnya nampak benar.

Namun persoalannya, mengapa RUU anti-lompat parti hanya baru diperkenalkan sekarang di tahun 2022? Tidak pernah dalam sejarah, di mana permintaan pembangkang dipersetujui oleh kerajaan demi memelihara kemuliaan Dewan Rakyat yang tercemar teruk ekoran sikap ‘hantu politik’.

Kami dikatakan telah mencapai kemenangan yang bermakna dalam keadaan sebagai pembangkang. Pembaharuan instiusi ini, selaras dengan agenda reformasi yang dilaung-laungkan oleh Parti KEADILAN Rakyat selama 23 tahun.

Cabaran RUU akan diuji dalam PRU selepas ini, yang dikatakan akan diadakan pada bila-bila masa selepas pewartaan undang-undang ini dikuatkuasakan dalam bulan September.

Harapan pengundi untuk melihat mandat mereka terjamin sepanjang lima tahun kini mula menampakkan cahaya di hujung terowong. Harapnyalah!

Rakyat memilih lambang KEADILAN pada PRU-14 kerana mereka yakin mandat mereka mengubah kerajaan bobrok lagi korup diwarisi dari kejahatan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah Mansor ketika itu berjaya.


Dan rakyat boleh memilih KEADILAN sekali lagi pada PRU-15. Namun kali ini tiada kelibat Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi Perdana Menteri pilihan saya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lebih penting, kita pastikan Najib meringkuk dalam penjara selepas PRU-15.

Di bahu Anwar dan gandingan terbaiknya, Saudara Rafizi Ramli diharap dapat mengubah iklim politik lesu yang dicetuskan ‘hantu politik’ yang ghairah menjarah kuasa malah berangan-angan mahu menjadi perdana menteri walau sebenarnya jauh panggang dari api.

Saya percaya ramai di kalangan kita pernah menonton kisah Pontianak Cina yang bergerak dengan melompat keluar dari keranda. Tahun lepas, artikel saya berkiaskan ‘Hantu Politik Lapar’ merayap di Putrajaya.

Tetapi bermula tahun ini, ‘Hantu Politik’ tidak lagi boleh melompat…

– Andre Lai merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju dan bekas Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *