Kepantasan Nunez Jadi Taruhan Liverpool

LIVERPOOL, 21 Okt – Ia mungkin bukan permulaan musim terbaik buat pemain termahal Liverpool, Darwin Nunez, tetapi dia berjaya memecahkan rekod sebagai pemain terpantas yang menjadi taruhan dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (PL).

Pemain 23 tahun itu merakam kelajuan 37.9 km sejam ketika The Reds menewaskan West Ham 1-0, rekod larian terpantas di liga tertinggi Inggeris itu.

Pemain antarabangsa Uruguay itu mengatasi rekod bintang Manchester City, Kyle Walker yang mencecah kelajuan 37.8 km sejam pada Jun 2020.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Nunez pernah menjadi pemain kedua terpantas di Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Dia mencatat kelajuan 36.5 km sejam ketika beraksi untuk Benfica, di belakang penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe yang mencecah kelajuan 36.7 km sejam ketika menentang Real Madrid.

Rekod baharunya melengkapkan hari cemerlang buat Nunez yang bergelut menyesuaikan diri di Liga Perdana Inggeris selepas perpindahan ke Anfield pada musim panas lalu.


Dia meledak gol tunggal permainan di babak pertama ketika menentang West Ham dan yang kelimanya untuk Liverpool musim ini.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp percaya Nunez kini mula mencapai prestasi terbaiknya ketika Diogo Jota dan Luis Diaz terpaksa direhatkan akibat kecederaan.

“Ia amat penting. Dia sudah menjaringkan gol beberapa kali dalam beberapa perlawanan lalu.

“Ototnya bermasalah sedikit ketika rehat tetapi dia dalam keadaan baik, dan selepas lima minit (di babak kedua) saya sedikit risau dengan keadaannya.

“Saya tidak mahu mengambil risiko dan terpaksa mengeluarkannya. Saya rasa ia keputusan yang tepat,” kata Klopp.

Nunez sudah meledak lima gol dalam semua pertandingan dan tiga daripadanya menerusi aksi Liga Perdana Inggeris.

– AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *