UCL: Dua Gol Pastikan Liverpool Tewaskan Atletico Madrid

IMG_5584

Alexis MacAllister menjadi wira Liverpool menjaringkan gol kemenangan menewaskan Atletico Madrid 2-1 pada aksi pertama Liga Juara-Juara Eropah di Anfield pada 9 September 2026.

LIVERPOOL, 10 Sep – Sukar untuk meminta lebih daripada apa yang dipamerkan pada penampilan sulung Andoni Iraola selaku jurulatih dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas Liverpool bangkit daripada ketinggalan dan menewaskan Atletico Madrid 2-1, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Iraola bermula dengan buruk apabila Marcos Llorente meletakkan pasukan pelawat di depan menerusi gol kelimanya dalam tiga kunjungan ke Anfield.

Bagaimanapun, Dominik Szoboszlai menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat manakala Alexis Mac Allister meledak gol kemenangan pada separuh masa kedua untuk memastikan kempen Liga Juara-Juara Liverpool bermula dengan langkah positif.

Pemain Liverpool, Dominik Szoboszlai meraikan jaringan ketika aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Atletico Madrid di Anffield, Liverpool pada 9 September 2026. Foto AFP

“Sukar untuk meminta lebih daripada ini. Kami menunjukkan karakter yang hebat, terutama selepas permulaan sukar untuk menghasilkan aksi separuh masa kedua seperti itu.

“Saya sangat menikmatinya. Suasana begitu luar biasa dan saya rasa bertuah, sangat bertuah dapat mengalaminya,” kata Iraola yang sebelum ini tidak pernah mengendalikan pasukan dalam pertandingan utama bola sepak Eropah itu.

Kemenangan Liverpool bagaimanapun kelihatan terpaksa dibayar dengan kecederaan apabila pemain baharu, Bradley Barcola, terpaksa dikeluarkan selepas mengalami masalah ketika sejam permainan.

Namun, Iraola berkata pemain bernilai 123 juta pound (RM678 juta) yang dibeli dari Paris Saint-Germain itu hanya mengalami kekejangan otot selepas membuat penampilan pertama sebagai pemain kesebelasan utama musim ini.

“Ia hanya kekejangan, terutama membabitkan Bradley. Kami agak memaksanya sedikit kerana dia tidak bermain walau seminit dalam aksi pramusim.

“Kami mahu dia berada di sana, tetapi akhirnya kami memutuskan hari ini, baiklah, berikan apa sahaja yang kamu ada.

“Itulah kemampuan maksimum yang dia ada dan kita lihat bagaimana dia pulih untuk perlawanan seterusnya kerana kami akan bermain lagi dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web