PRU-15 – Pembugaran Pemikiran Rakyat Tentang Politik

PENDAPAT, 21 Okt – Sejarah membuktikan bahawa negara kita dibentuk melalui proses demokrasi iaitu melalui pilihan raya. Pada pilihan raya yang pertama iaitu pada 27 Julai 1955, dimenangi oleh Parti Perikatan, sebuah kerjasama antara  Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC).

Kemenangan Perikatan ketika itu memberi peluang kepada Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama dan memimpin negara untuk berunding dengan pihak British di London, England untuk menuntut kemerdekaan. Prosesnya aman dan harmoni tanpa pertumpahan darah berlaku.

Sejarah juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia pernah membuat pilihan untuk menukar kerajaan Barisan Nasional yang memimpin negara selama 63 tahun kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke 14. Tarikh 9 Mei 2018 tidak mampu dipadamkan bahawa rakyat Malaysia boleh memilih kerajaan yang mereka mahukan melalui pilihan raya. Pertukaran kerajaan itu juga membuktikan negara Malaysia sememangnya aman dan harmoni tanpa melalui proses pertumpahan darah.

Rakyat Malaysia hari ini sedar bahawa kuasa mereka untuk memilih pemimpin dan parti politik yang mereka mahukan boleh sahaja berlaku melalui pilihan raya. Kuasa memilih itu lahir dari perasaan dan sikap peduli rakyat Malaysia kepada negara yang tercinta.

Mewacanakan pemikiran

Walaupun begitu, masih ada segelintir rakyat masih tidak memahami dengan jelas tentang sistem pilihan raya di negara kita. Kefahamanan yang tidak jelas tentang politik menyebabkan rakyat tidak keluar mengundi. Adapun pengundi atas pagar dan pengundi baru melihat politik hanya untuk kepentingan penguasa sahaja. Ataupun mereka yang mengundi tidak mendapat maklumat yang secukupnya untuk membuat pilihan.

Rakyat perlu diberikan ilmu pengetahuan dan maklumat yang mencukupi sebelum mereka membuat pilihan. Parti-parti politik perlu lebih agresif berkempen untuk memberikan rakyat cukup pengetahuan dan maklumat. Kekangan yang dihadapi oleh parti pembangkang untuk menyebarkan pengetahuan kepada rakyat sangat terbatas.

Cemuhan dan kritikan walaupun biasa dihadapi ahli politik tetapi yang jelasnya parti pembangkang lebih teruk menerima keadaan itu kerana doktrin yang disemai dalam pemikiran rakyat bahawa pembangkang tidak harus disokong.

Jika di Sarawak, penerimaan mereka yang dikatakan parti pembangkang sangat mendapat tekanan. Ada kalanya hanya dengan menggantung bendera atau poster sudah menjadi satu kesalahan besar yang boleh mengakibatkan pertengkaran tercetus di rumah panjang.


Hal ini bukan sahaja tidak baik untuk negara tetapi boleh mengugat demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Demokrasi adalah satu proses untuk membenarkan seseorang individu untuk mengeluarkan idea dan pendapat kemudian yang lain menyatakan sokongan ataupun tidak.

Jika proses ini tersekat pada doktrin yang pembangkang tidak boleh menyebarkan maklumat maka demokrasi bukanlah segar dan harmoni di negara kita.

Pengundi yang bijak

Proses mengubah pemikiran rakyat tentang politik adalah proses yang panjang. Pengundi yang bijak akan membuat pilihan berdasarkan kepada banyak faktor. Pengundi yang bijak juga akan menilai dan menganalisis setiap langkah dan gerak geri perkembangan politik semasa.

Pengundi seperti ini dikategorikan sebagai pengundi yang berfikiran kritikal. Mereka akan melihat kepada beberapa pekara seperti dasar atau manifesto parti, keadaan ekonomi semasa dan calon di kawasan tersebut. Adalah lebih baik jika makin ramai pengundi yang berfikiran kritikal sebelum membuat keputusan. Parti-patti politik akan terus menyatakan manifesto dan formula yang bernas yang mampu untuk menyelamatkan negara.

Pengundi tidak semestinya berfikiran kritikal tetapi bijak membuat keputusan. Tidak semua rakyat Malaysia mempunyai masa untuk bercerita atau melihat video tentang politik.

Mereka lebih berminat untuk bekerja dan meneruskan kehidupan demi kelangsungan hidup. Mereka yang seperti ini juga akan bijak jika membenarkan penyampai maklumat politik diberi peluang bercerita dengan mereka dalam satu dua minit sahaja. Mereka mampu membuat keputusan walaupun beberapa minit.

Ada juga pengundi yang tidak mempunyai sebarang maklumat tentang politik datang mengundi demi menyelesaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Mereka inilah dikategorikan sebagai warganegara yang bijak.

Salah satu daripada tanggunjawab sebagai warganegara Malaysia ialah mengundi semasa pilihan raya. Tanpa maklumat yang tepat dan betul, mereka akan mengundi calon yang dilihat di poster ataupun di pusat pengundian.

Pengundi yang bijak juga memahami bahawa setiap undi yang diberi tidak akan menyebabkan mereka akan dikekang atau disingkirkan daripada pekerjaan ataupun tekanan daripada pelbagai pihak.

Setiap undi yang diletakkan di dalam kotak tidak pun diketahui oleh sesiapa melainkan diri sendiri. Penjawat awam selalu menjadi mangsa serangan pelbagai pihak dengan menyebarkan bahawa undi yang mereka letakkan boleh dilihat jika mereka mengundi pembangkang.

Tekanan juga dihadapi oleh pengundi muda yang dipaksa oleh keluarga untuk mengundi satu-satu parti. Rasa bersalah yang tinggi akan menyelubungi mereka jika mereka mengundi bukan pilihan.

Kempen mencerdikkan pengundi

Kempen mencerdikan pengundi ini harus diambil serius oleh setiap parti dan calon yang bertanding. Kempen politik yang lebih agresif bertemu dengan rakyat pelbagai lapisan masyarakat mesti dilaksanakan. Kesedian mendengar pendapat daripada pengundi adalah sangat penting kepada parti-parti dan calon-calon yang bertanding.

Begitu juga dengan menyampaikan maklumat kepada rakyat agar lebih berwaspada dan sentiasa menilai setiap maklumat tersebut agar pengundi tidak disajikan dengan kempen politik yang berbaur perkauman dan sentimen agama yang berlebihan.

Jika rakyat disajikan dengan fitnah dan berunsurkan sentimen perkauman, rakyat akan sentiasa berada pada pemikiran yang lama. Sebagai pengundi, mereka tidak disajikan dengan kesegaran dan keharmonian demokrasi di negara kita.

Kerajaan harus membenarkan ahli-ahli politik untuk menyebarkan kempen mengundi di Universti dan sekolah-sekolah kerajaan. Sebagai pengundi baru, mereka harus diberikan maklumat yang tepat agar mereka akan menunaikan tanggungjawab mengundi ketika pilihan raya.

Kempen melalui media seperti televesyen dan radio harus diperbanyakkan lagi. RTM dan TV3 harus menstrukturkan kempen yang baik agar maklumat yang disampaikan kepada rakyat bersifat tepat tanpa fitnah. Debat-debat politik dan bicara politik juga perlu diperbanyakkan. Tontonan umum debat politik sebelum pilihan raya akan menaikan semangat rakyat untuk menunaikan tanggunjawab sebagai pengundi.

Manakala kempen di media sosial menjadi pilihan pertama rakyat untuk mendengar dan mendapatkan maklumat tentang politik. Rakyat yang bijak menolak untuk melihat kempen bersifat negatif. Hari ini, kempen-kempen politik di media sosial sangat terbuka. Maklumat yang tepat perlu digandakan untuk rakyat menerima maklumat yang bersifat positif.

Mutu pilihanraya Negara Malaysia

Kesimpulannya, semua rakyat perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada setiap pilihanraya. Walaupun telah diumumkan pilihanraya umum dan pilihan raya negeri berasingan, rakyat harus sentiasa bersedia menunaikan tanggunjawab tersebut.

Ahli-ahli politik khususnya pembangkang, perlu lebih agresif bertemu dengan rakyat walaupun pelbagai kekangan dihadapi agar demokrasi di negara kita akan sentiasa segar dan harmoni.

Jame Stephen ialah seorang aktivis Bintulu yang terbabit dalam NGO rakyat serta pengamat isu semasa. Pandangan beliau tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Media Rania

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *