PRU-15 – ‘Saya Sedia Bertemu Anwar Bincang Kerjasama’ – Mahathir

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk bertemu Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Malah Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya perlu memulakan langkah untuk bertemu Presiden KEADILAN itu, beliau bersedia berbuat demikian demi mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara.
“Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini akan terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik. Contoh yang kerap diguna ialah bagaimana saya sanggup pergi berjumpa Anwar sampai ke mahkamah sebelum pilihan raya 2018 untuk mendapat sokongan darinya.
“Ini benar. Bagi saya perasaan peribadi, bersikap sombong, ego, kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanah air.
“Semasa saya pergi bertemu dengan Datuk Seri Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada di dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Najib Razak dan Kerajaan UMNO/BN pimpinannya dari terus berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Mahathir yang juga penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu berkata, semasa pertemuannya dengan Anwar di mahkamah seluruh dunia melaporkan puluhan billion wang rakyat dirompak oleh Najib.
Tambah Mahathir, sekiranya Najib dan Kerajaan BN tidak dijatuh, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun.
“Sifir politik ketika itu juga amat jelas, jika pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa.
“Maka pilihan yang perlu saya buat juga amat mudah iaitu untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara, saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut.
“Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan.
“Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan negara tercapai. Kejatuhan Najib menunjuk kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita,” ujarnya.
