Kejayaan Konvensyen KEADILAN Sabah Mantapkan Persediaan Hadapi PRN Ke-17

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut kira-kira 15,000 orang yang hadir mendengar pidato rakyat pada Himpunan Perdana Rakyat KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 4 Ogos 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENDAPAT, 6 Ogos – Masih segar dengan kejayaan penganjuran Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah kelmarin, ia sesungguhnya disifatkan mampu melonjak semangat anggota parti dan rakyat negeri ini bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Selain kesudian Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup turun ke Kota Kinabalu semata-mata untuk menaikkan semangat anggota parti, ia juga menjadi pemangkin kepada perpaduan utuh dalam komponen Pakatan Harapan (PH) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Selaku teraju dalam PH, KEADILAN menerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah diketuai Datuk Mustapha Sakmud selaku pengerusi, pastinya berbangga melihat sambutan di luar jangkaan apabila kira-kira 15,000 orang hadir berbanding sasaran awal hanya 10,000 orang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Konvensyen KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Bukan sekadar anggota parti, rakyat biasa sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Sepanggar dan Tuaran yang telah mendapat khabar akan kehadiran Perdana Menteri turut sama menyatakan sokongan mereka dengan hadir beramai-ramai seawal jam 7 pagi lagi.

Biarpun Perdana Menteri hanya tiba sekitar jam 12.20 tengah hari, ia tidak menghalang belasan ribu rakyat menunggu kemunculan Anwar yang menjadi ikon rakyat Sabah sejak dulu lagi semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri hinggalah Ketua Pembangkang.

Kejayaan penganjuran yang disifatkan paling besar dalam sejarah perhimpunan dalam satu-satu masa ini juga menjadi saksi kebangkitan PH bersama komponen parti Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya negeri Sabah kurang setahun dari sekarang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Mereka yang hadir sejauh Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Pensiangan, Sandakan malah kawasan yang bersempadan dengan negara jiran juga amat berpuas hati melihat sosok tokoh nombor satu negara merasmikan konvensyen terbesar di Sabah International Convention Centre (SICC) itu biarpun terpaksa bermalam di Kota Kinabalu.

Khabarnya hotel penginapan sekitar bandar raya ini habis ditempah sejak Jumaat manakala yang tidak bermalam memulakan perjalanan sejak awal malam Sabtu.

Dalam pidato rakyat yang disampaikan, Anwar mengingatkan sesetengah wakil rakyat dari Sabah supaya tidak bermain sentimen dalam isu perbelanjaan RM16 bilion yang diperuntukan kepada Sabah.

Para penari kebudayaan Sabah dari Pensiangan yang menjadi pembuka Konvensyen KEADILAN Sabah amat berpuas hati dengan kehadiran Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad. Foto Fekrie Gobet

Jelas beliau, perbincangan telah dilakukan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang diwarisi di Sabah.

“Saya tegaskan jangan main sentimen… Saya, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri pergi ke Pejabat Ketua Menteri, panggil menteri-menteri Sabah, Datuk Masidi Manjun (Menteri Kewangan Sabah) pun ada, kemudian bincang bagaimana nak selesaikan masalah.

“Pertama kemiskinan tegar, kedua air termasuk banjir, bekalan elektrik, kita dengar, kita tahu ada yang gelap sana sini, ada jalan lubang sana sini, ingat baru berlaku tahun ini? Sudah kita warisi dan cuba kita selesaikan dan belanjanya besar,” katanya.

Kira-kira 15,000 orang hadir mendengar pidato Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Konvensyen KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada Ahad. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pidato berapi beliau membuatkan rakyat Sabah malah seluruh negara yang menyaksikannya di Facebook Live PKR Sabah teruja dengan ketegasannya mempertahankan malah melindungi hak rakyat negeri ini apabila sejumlah RM16 bilion peruntukan keseluruhan disalurkan bagi tahun ini, dan bukan hanya terhad untuk projek pembangunan sahaja.

Jelas Anwar, jumlah itu adalah untuk perbelanjaan pelbagai perkara antaranya sekolah, pendidikan untuk anak-anak, menjaga sempadan bagi keselamatan rakyat dan pembangunan negeri.

Tepukan gemuruh bergema di setiap penjuru dewan konvensyen yang berlangsung selama enam jam yang padat dengan pencerahan yang digulung Anwar semasa pidato beliau kira-kira 45 minit.

Suasana meriah dihadiri kira-kira 15,000 orang dari seluruh Sabah menggegar pentas Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi mendengar pidato Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Dengan kehadiran Ketua Menteri sendiri, ia jelas satu bentuk penghormatan tertinggi daripada kepimpinan kerajaan negeri terhadap Anwar yang bersungguh-sungguh mahu Sabah bangkit termasuk menggesa agar pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan.

Selain peluncuran Deklarasi Kinabalu, Anwar juga merasa bangga dengan sambutan padu rakyat Sabah biarpun terpaksa beredar pulang ke Kuala Lumpur jam 3.25 petang bagi menyampaikan pidato Himpunan Solidariti Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada sebelah malamnya.

Sudah pastilah pasca kejayaan konvensyen ini, banyak kerja yang mesti dilakukan parti termasuk memilih calon yang sesuai dengan kawasan DUN adalah perkara paling penting untuk dibereskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai semasa merasmikan Konvensyen Keadilan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Ahad.

Calon yang akan dipilih nanti perlu mempunyai rekod prestasi yang baik, mempunyai sokongan akar umbi, serta memahami isu-isu tempatan.

Selain itu, perancangan kempen yang menyeluruh harus dilakukan. Ini termasuk merangka strategi komunikasi yang jelas, menetapkan matlamat kempen, dan mengatur logistik seperti lokasi strategik bahan kempen dan sebagainya.

Sudah pasti konvensyen yang berjaya juga memerlukan penglibatan aktif daripada semua pihak, termasuk ahli parti, penyokong, dan pengundi. Melibatkan mereka dalam proses perancangan dan pelaksanaan kempen dapat meningkatkan sokongan dan kepercayaan terhadap calon dan parti.

Kejayaan penganjuran Konvensyen KEADILAN Sabah diketuai Pengerusi MPN Datuk Mustapha Sakmud diharap mampu meneruskan momentum sokongan rakyat negeri ini kepada KEADILAN bagi persediaan menghadapi PRN tahun depan. Foto Facebook PKR Sabah

Adalah diharapkan MPN Sabah mengambil peluang dan kesempatan kejayaan ini untuk melebarkan sayap meluaskan pengaruh KEADILAN ke segenap pelusuk negeri ini dalam tempoh terdekat.

Sayugia, keberkesanan konvensyen juga ditentukan oleh kemampuan parti untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dinamika politik dan mengambil tindakan pantas terhadap sebarang isu yang timbul.

Apapun sekalung tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang bertungkus-lumus sejak dua minggu lalu menyediakan ‘hidangan’ pidato Perdana Menteri yang pastinya sedang menjadi buah mulut di kalangan rakyat bagi memastikan agenda Malaysia MADANI terus melekat di sanubari.

Teruskan semangat membara rakyat Sabah terhadap KEADILAN bagi meneruskan misi membantu rakyat dengan semangat jitu selain meneruskan kelangsungan kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan.

Selamat tinggal Kota Kinabalu, kita pasti akan ketemu lagi!

Penulis Bebas Politik
Kota Kinabalu
6 Ogos 2024


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *