Hari Sabah: Dua Program Dianjur Semarakkan Sambutan Hari Kemerdekaan

Christina bergambar kenangan bersama rombongan kunjungan hormat berkenaan di pejabatnya di Kota Kinabalu pada Selasa.
KOTA KINABALU, 6 Ogos – Program Sabah Tanah Airku Karnival Merdeka 2024 dan Tamu Sabah Day dijadualkan diadakan masing-masing pada 24 Ogos sehingga 31 Ogos dan 29 Ogos sehingga 1 September depan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pelbagai aktiviti melibatkan kebudayaan, tradisional, pemerkasaan pelancongan menerusi program sukan akan dilaksanakan pada Tamu Sabah Day di Padang Merdeka.
“Kementerian saya sudah pasti akan memberikan sokongan penuh kepada Sabah Day Run yang buat julung kalinya diadakan.
“Larian ini melibatkan beberapa kategori seperti Merdeka Charity Fun Run, Mini Merdeka Fun Run dan Sabah Day Sprint Run.
“Saya menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama menjayakan program ini dengan mendaftar dan menyertainya sekali gus mengukuhkan semangat patriotik, kesatuan dan harmoni.
“Acara ini melibatkan larian relay yang mana larian akan dilakukan dari daerah ke daerah lain. Sebanyak 30 daerah di negeri ini akan menyertai acara ini,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada jawatankuasa penganjuran di sini, kelmarin.
Christina menerima taklimat mengenai dua acara berkenaan dari Presiden Pertubuhan Penduduk Berasal Sabah, Philip Among dan Pengarah Program, Shiela Among yang dilantik melaksanakan Sabah Day Run.
Christina dijangka akan merasmikan kedua-dua program berkenaan.
Dijangkakan 3,000 peserta akan mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Pendaftaran adalah percuma, peserta hanya perlu melayari https://linktr.ee/STAMerdekaRun atau imbas Kod QR.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


