Tujuh Penghuni Kuarters Selamat Dalam Kebakaran Di IPD Miri

Seunit kuarters di IPD Miri musnah terbakar tetapi tujuh penghuni selamat malam tadi. Foto JBPM Sarawak
MIRI, 6 Ogos – Tujuh penghuni kuarters di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berdepan detik cemas apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan sekitar 7.10 malam.
Katanya, kebakaran itu melibatkan seunit rumah di kuarters IPD Miri yang didiami anggota bersama isteri, empat anak dan seorang menantu.
“Kebakaran berlaku di tingkat tiga yang terbakar 80 peratus namun kesemua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Turut hadir di lokasi, Ketua BBP Miri Sentral Bonny Martin Saging Mato, Pegawai Penyiasat JBPM Zon 6 Miri Jessbent Jenus dan Pegawai Operasi JBPM Zon 6 Miri Muhammad Khuzir Azman.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

