Ayuh Malaysia Hulu Terengganu Kesal Layanan ‘Pilih Bulu’ Kerajaan Terengganu

HULU TERENGGANU, 25 Jul – Pasukan Ayuh Malaysia Hulu Terengganu berkesempatan melakukan kerja-kerja amal membantu mangsa banjir yang diabaikan hanya disebabkan perbezaan fahaman politik yang diamalkan kerajaan negeri Terengganu yang diterajui Pas.

Kesal dengan tindakan berkenaan, Koordinator Ayuh Malaysia Hulu Terengganu, Eka Lisut @ Noraini Abdullah bersama-sama penggerak NGO berkenaan menyantuni Zainab Ismail yang terkesan akibat banjir yang melanda kawasan rumahnya pada Isnin.


“Saya merasa amat kesal dengan sikap kerajaan Terengganu yang seolah ‘pilih bulu’ dalam penyaluran bantuan kepada mangsa banjir di kawasan ini hanya semata-mata beliau seorang bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) KEADILAN cabang Hulu Terengganu,” ujar beliau.

Turut hadir, bekas Ketua Cabang KEADILAN Hulu Terengganu, Ghani Abdullah; Ketua Wanita Cabang, Zulekha @ Rukiah Ibrahim; Timbalan Ketua Wanita Cabang, Sarimah Kassim dan AJK cabang serta sayap cabang berkenaan.


Sumbangan berkenaan dikumpul menerusi beberapa kaedah termasuk kutipan dana kilat dan membuka tabung derma kepada masyarakat setempat.

Eka selaku bekas Timbalan Ketua Wanita KEADILAN negeri menambah, kerajaan Pas seharusnya lebih bertanggungjawab memastikan semua rakyat tanpa mengira fahaman politik diberi bantuan sewajarnya.

“Rakyat tanpa mengira ideologi politik sewajarnya dibantu meringankan beban kesusahan yang mereka hadapi selaras dengan ajaran agama Islam yang menitik beratkan konsep keadilan hendaklah diletakkan pada tempatnya dan dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab,” jelasnya lagi.


Terdahulu pada 19 Julai lalu, Eka dan ahli Jawatankuasa DUN Kuala Berang membuat laporan polis ke atas bekas Perdana Menteri, Najib Razak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu atas saranan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau bersama penggerak NGO itu merasakan wajar Najib disiasat segera ekoran tuntutan waris Kesultanan Sulu menuntut hak dua syarikat Petronas sebagai bentuk pengkhianatan kepada negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *