JANGAN KETAWA – Mahathir Beri Bayangan Bertanding Lagi Pada PRU-15

LANGKAWI, 25 Jul – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad membayangkan untuk bertanding semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau bagaimanapun, berkata hasrat itu hanya akan diteruskan sekiranya mendapat sokongan ahli dan faktor kesihatan yang mengizinkan.

“Bila dekat pilihan raya kita buat keputusan. Kalau perlu bertanding saya akan bertanding.

“Tetapi, kalau ikut kehendak saya tua sangat dah…tak payah bertanding. Sebab itu kadang-kadang saya jawab ya (akan bertanding), pada waktu lain saya kata tidak bertanding,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha bot pelancongan di Jeti Tanjung Rhu di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, dia sentiasa berada dalam keadaan serba salah apabila berhadapan pertanyaan penyokong parti berkaitan perkara itu.

“Banyak pihak kata saya ni dah tua, tak usah (bertanding). Bagi peluang kepada orang muda, malah ada penyokong yang marah kalau saya kata tak nak bertanding (lagi).

“Jadi saya serba-salah. Bila kata nak bertanding orang kata dah tua, kalau tak nak bertanding orang kata tak boleh macam tu kena bertanding,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berkata PRU-15 tidak sesuai diadakan dalam waktu terdekat kerana kerajaan dilihat dalam keadaan terumbang ambing menguruskan negara.

“Saya fikir kita perlu tunggu dan tak boleh gopoh (mengadakan PRU-15). Saya kurang yakin dengan kebolehan kerajaan kerana (seolah-olah) tak tahu apa nak buat.

“Cara pentadbiran pun lambat. Ada duta sampai berbulan-bulan tidak dipilih, bila pilih pula ambil orang politik jadi duta, kemudian berhentikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *