Apakah Pendidikan Berubah Atau Zaman Yang Berubah?

Pengerusi SDNU Bintulu Jame Stephen gusar dengan perkembangan sistem pendidikan negara yang kian dikuasai elemen media sosial dan kurangnya kesedaran di kalangan ibu bapa tentang hal persekolahan anak-anak mereka.

PENDAPAT, 22 Jun – Kecoh baru-baru ini apabila seorang guru mengambil tindakan memuat naik gambar 18 orang murid yang tidak menyiapkan kerja rumah dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa.

Tindakan ini mengundang pelbagai reaksi. Ada yang menyokong ketegasan guru, namun tidak kurang juga yang mengecamnya sebagai perbuatan “memalukan anak secara terbuka”. Bahkan ada ibu bapa yang terus membuat laporan ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Terdetik di hati saya untuk menulis artikel ini bukan semata-mata kerana isu yang tular itu tetapi kerana ia mencerminkan sesuatu yang lebih kepada keretakan nilai dan kefahaman dalam masyarakat kita terhadap pendidikan itu sendiri.

Runtuhnya pendidikan kita hari ini bukanlah semata-mata berpunca daripada kelemahan sistem, tetapi daripada ruang sosial yang semakin menyempit, tempat kepercayaan semakin luntur dan rasa hormat semakin pudar.

Runtuhnya pendidikan kita hari ini bukanlah semata-mata berpunca daripada kelemahan sistem, tetapi daripada ruang sosial yang semakin menyempit, tempat kepercayaan semakin luntur dan rasa hormat semakin pudar. Kita mula mempertikai niat guru sebelum memahami tindakan mereka dan lebih cenderung membela ego berbanding membina watak anak.

Oleh kerana hal itu, timbul persoalan besar: adakah pendekatan guru sudah ketinggalan zaman atau masyarakat kita yang semakin sensitif terhadap semua bentuk teguran? Adakah pendidikan sedang berubah, atau sebenarnya zaman yang berubah?

Pendidikan suatu ketika dahulu dibina atas tiang disiplin, kesungguhan dan penghormatan kepada guru. Guru dianggap sebagai tokoh yang layak menegur secara terbuka demi membentuk sahsiah dan jati diri. Namun hari ini, pendekatan yang sama boleh dianggap keterlaluan, bahkan dikaitkan dengan ‘menjatuhkan maruah’. Realitinya, zaman telah berubah.

Namun hari ini, pendekatan yang sama boleh dianggap keterlaluan, bahkan dikaitkan dengan ‘menjatuhkan maruah’. Realitinya, zaman telah berubah.

Akses kepada media sosial, kesedaran tentang hak individu dan kemajuan dalam bidang psikologi pendidikan menuntut pendekatan yang lebih berhati-hati. Masyarakat kini lebih celik undang-undang dan lebih peka terhadap emosi anak-anak. Kesilapan kecil boleh menjadi bahan tular, dan seorang guru boleh diadili bukan sahaja oleh pentadbir sekolah, tetapi oleh jutaan mata di media sosial.

Ada suara mengatakan bahawa kita sedang membesarkan generasi yang terlalu ‘dilindungi’. Anak ditegur sedikit, ibu bapa sudah “sentap”. Anak ditegur secara umum, dikatakan tercalar harga diri. Ironinya, dalam dunia nyata nanti, anak-anak ini perlu berdepan bos yang jauh lebih tegas, pelanggan yang tidak bersopan, dan kehidupan yang tidak selalu lunak dengan diplomasi.

Pendidikan bukan hanya tentang memperoleh A dalam peperiksaan, tetapi juga tentang membina ketahanan emosi dan kematangan sosial. Jika setiap teguran dianggap sebagai penghinaan, maka kita bukan mendidik insan, tetapi sedang membina generasi yang rapuh dan tidak tahan uji.

Dalam konteks pendidikan masa kini, ibu bapa bukan lagi sekadar penonton dari luar pagar, tetapi merupakan rakan strategik kepada guru. Namun, apabila guru mula dilihat sebagai ‘musuh’ hanya kerana menegur, maka fungsinya sebagai pendidik menjadi lumpuh.

Guru dan ibu bapa perlu berganding bahu, bukan berlawan persepsi. Ibu bapa wajar bertanya diri: jika guru tidak menegur, siapa lagi? Jika disiplin tidak dimulakan di sekolah, di mana tempatnya? Dan jika setiap tindakan guru dipantau dengan penuh syak wasangka, siapakah yang akan rugi akhirnya?

Jadi, apakah pendidikan yang berubah atau zaman yang berubah? Jawapan saya ialah kedua-duanya. Pendidikan perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman. Zaman menuntut lebih banyak empati, etika dan sensitiviti.

Namun dalam masa yang sama, pendidikan tidak boleh kehilangan nilai asalnya iaitu ketegasan, kejujuran dan kebertanggungjawaban. Guru bukan musuh. Teguran bukan penghinaan. Dan maruah anak bukan terletak pada gambar yang dikongsi, tetapi pada nilai yang diterapkan sejak kecil.

Jika semua guru, ibu bapa dan murid dapat melihat peranan masing-masing dengan waras dan saling menghormati, maka kita tidak hanya berubah mengikut zaman, tetapi turut memperkukuhkan pendidikan sebagai asas utama masa depan bangsa.

– Penulis ialah Jame Stephen, Pengerusi SDNU Bintulu. Beliau melihat perkara ini sebagai isu yang amat mendesak dan menyeru seluruh masyarakat terutamanya masyarakat Dayak, khususnya ibu bapa, untuk memperkukuhkan pendidikan anak-anak dan menjadikan isu pendidikan sebagai satu perkara yang amat penting dalam agenda pembangunan masyarakat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *