Perkukuh KEADILAN Sarawak Hingga Peringkat Akar Umbi – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada pertemuan bersama pimpinan KEADILAN Sarawak di Kuching pada 22 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUCHING, 22 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta barisan kepimpinan KEADILAN Sarawak supaya terus mengukuhkan kekuatan parti itu hingga ke peringkat akar umbi selepas pemilihan parti berakhir hujung Mei lalu.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, kekuatan akar umbi parti harus dirangkul dengan semangat perpaduan dan perjuangan.
Yang turut hadir Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R Ramanan, Setiausaha Agung Datuk Fuziah Salleh dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kamil Munim.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan mereka yang menang dalam pemilihan lepas supaya tidak angkuh sebaliknya perlu bekerjasama dengan semua pihak termasuk kumpulan yang tewas.
“Setiap daripada kita punya peranan dan kekuatan tersendiri untuk terus bekerja demi rakyat.
“Usaha membina parti di Bumi Kenyalang bukan mudah namun dengan iltizam bersama, KEADILAN pasti mampu bertapak kukuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas Sesi Perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak di sini, hari ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, amanah yang diberikan bukan milik mutlak sebaliknya adalah tanggungjawab besar yang mesti dipikul pemimpin dengan jujur dan ikhlas.
“Kuasa dan kedudukan bukan lesen untuk bersenang-lenang atau menyalah guna amanah. Setiap pimpinan wajib menjunjung integriti, telus dalam tindakan dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
