Amang Seksual: PU Azman Diperintah Bela Diri
KLANG, 26 Dis – Pendakwah bebas, PU Azman diarah membela diri terhadap dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Syafeera Mohd Said, membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang nama sebenarnya, Azman Syah Alias.
Susulan keputusan itu, Azman Syah, 42, diberi tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi; memberikan pernyataan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh di mana dia tidak boleh disoal balas atau memilih untuk berdiam diri, dalam hal ini mahkamah mesti meneruskan untuk mensabitkannya.
Tertuduh kemudiannya memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Azman Syah menghadapi dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah inap desa dekat Kampung Sungai Udang, Klang, masing-masing pada 12.15 pagi dan 1 pagi pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Hakim kemudian menetapkan 12 Januari ini untuk prosiding bela diri oleh tertuduh.
– Oleh Nor Ain
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
