Keputusan Seri City, Arsenal Kekalkan Liverpool Terajui Liga

Penyerang Manchester City, Erling Haaland (kanan) dikawal rapi pertahanan Arsenal, Gabriel ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, Manchester. Foto Reuters

MANCHESTER, 1 AprManchester City dan Arsenal buntu tanpa jaringan di Etihad, sekali gus membolehkan Liverpool kekal sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Brighton 2-1 pada perlawanan sebelum itu.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp kini mendahului dengan kelebihan dua mata ke atas Arsenal, dan tiga melebihi Man City.

Keputusan di Etihad itu mengekalkan rekod tanpa kalah Man City di laman sendiri sejak November 2022 dan menamatkan deretan lapan kemenangan Arsenal dalam saingan liga.

Bagaimanapun Arsenal kendalian Mikel Arteta berjaya menghalang anak buah Pep Guardiola daripada menjaringkan gol di Etihad buat pertama kali sejak dua tahun lalu.

Penyerang Manchester City, Erling Haaland (kanan) dikawal rapi pertahanan Arsenal, Gabriel ketika aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, Manchester. Foto Reuters

City menguasai permainan tetapi bergelut untuk melepasi benteng Arsenal yang paling kurang dibolosi dalam saingan liga musim ini.

Arsenal juga cukup tajam di barisan hadapan apabila meledak 33 gol dalam lapan kemenangan mereka sebelum ini.

The Gunners yang tewas dalam lapan kunjungan terakhir ke Etihad, termasuk kekalahan 4-1 yang memberikan kelebihan kepada City dalam perebutan kejuaraan musim lalu, lebih cenderung bertahan dan melakukan serangan balas untuk memerangkap tuan rumah kali ini.

Gabriel Jesus yang kembali ke Etihad sebagai pemain Arsenal, mempunyai peluang terbaik di babak pertama tetapi percubaannya tersasar.

Nathan Ake mensia-siakan peluang terbaik City untuk mendahului permainan tetapi gagal memanfaatkan sepakan sudut Kevin De Bruyne.

Salah Pastikan Liverpool Rampas Kedudukan Pendahulu

City turun tanpa dua tonggak pertahanan, Kyle Walker dan John Stones yang cedera ketika aksi persahabatan antarabangsa bersama England.

Kini Guardiola terpaksa merombak bentengnya apabila Ake tidak dapat meneruskan aksi pada minit ke-27.

Peledak utama City, Erling Haaland juga tidak mampu memberikan ancaman kepada pertahanan Arsenal yang diterajui Gabriel Magalhaes dan William Saliba.

Penyerang Norway itu mempunyai peluang terbaik memecah kebuntuan ketika permainan berbaki tujuh minit, namun Haaland gagal membaca bola sepakan sudut dengan baik.

Kegagalan City meraih kemenangan bermakna mereka masih belum menewaskan mana-mana pasukan di kelompok lima teratas musim ini.

Juara bertahan itu kini terpaksa mengharapkan Liverpool dan Arsenal tercicir mata jika mereka mahu menjadi kelab pertama meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris empat kali berturut-turut. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *