April Fool: Peringatan Muhasabah Diri Dan Integriti Akhlak

April Fool sebenarnya tidak wajar dijadikan hari ‘membuli’ pesaing tetapi wajar dijadikan simbol kegagalan manusia menggunakan akal fikiran yang waras untuk membina tamadun lebih baik. Foto Arkib

PENDAPAT, 1 Apr – Pada April 1, April Fool’s Day sering dilihat sebagai peluang untuk bergurau dan menceriakan suasana. Namun, dalam konteks politik, kegiatan kegurauan mendorong mereka yang tidak bertanggungjawab untuk manipulasi berita dalam media sosial demi menghidupkan suasana jenaka.

Pun begitu, jenaka untuk mereka, bukan jenaka untuk masyarakat. Seringkali, jenaka yang disalahtafsir disebar cepat melalui media sosial dan menjadi ikutan (trending) tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Tidak, saya tidak maksudkan isu KK Mart ataupun poster sekerat ucapan daripada menteri. Saya maksudkan bahan jenaka yang secara tersirat membawa kepada agenda merosakkan akhlak.

Seperti kita sering mendengar berita bagaimana video buli pelajar baharu di IPT yang menjadi gurauan antara pelajar sendiri, tetapi dari sudut akhlak dan intelektual tidak mencerminkan sebaliknya.

Kebebasan menggunakan Internet telah dijadikan punca. Sekiranya gejala tidak dibendung, mereka pelaku akan semakin berani untuk mengusahakan jenaka dan kemudiannya menyebarkan berita palsu demi keseronokan sendiri.

Pesanan Andre Lai buat mereka yang ‘meraikan’ April Fool hari ini. Foto Facebook Andre Lai

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan peningkatan dalam penyebaran berita palsu dan maklumat salah. Fenomena ini bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah berpotensi merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan proses demokrasi.

Saya percaya kita semua memahami akan bahaya yang ditimbulkan oleh berita palsu dan bagaimana ia boleh digunakan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik tertentu tetapi dengan mengapi-apikan naratif perkauman dan agama yang amat bahaya.

Manipulasi maklumat dan berita sering dilakukan dengan tujuan untuk mempengaruhi pendapat umum atau merosakkan nama baik lawan politik. Ini adalah taktik yang tidak beretika dan boleh mengganggu keharmonian sosial.

Namun di Malaysia, di mana masyarakatnya pelbagai kaum dan agama, berita palsu dengan cepat boleh menimbulkan ketegangan antara kumpulan etnik dan kepercayaan.

Harmonikan Perpaduan Kaum, Hentikan Polemik Tidak Perlu

Saya mendokong penuh kepada kebebasan dalam alam maya tetapi setiap kebebasan mempunyai batasnya. Saya menyokong sepenuhnya YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dalam inisiatif untuk sentiasa berdialog dengan syarikat-syarikat pengendali platfotm media sosial.

Ia adalah satu usaha proaktif kerajaan Malaysia MADANI, sesuatu yang tidak pernah berlaku pada kerajaan-kerajaan sebelum ini. Usaha Fahmi menyelia dan sedang menyiapkan garis panduan dan kod etika penggunaan di media sosial diharap dapat disambut baik semua pihak.

Antara usaha terbaru adalah libat urus bersama Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang keselamatan penggunaan media sosial terutama TikTok dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.

April Fool bukan hanya tentang jenaka, tetapi juga peringatan tentang muhasabah diri dan integriti akhlak kita. Dalam era di mana maklumat boleh tersebar dengan cepat dan meluas, tanggungjawab kita untuk memastikan integriti maklumat adalah lebih penting berbanding sebelum ini.

Namun apa yang lebih penting, setiap maklumat yang ingin disampaikan mestilah disertai dengan tanggungjawab serta implikasi yang akan diterima pihak ketiga.

Maka April Fool juga biarpun dilihat satu jenaka, namun ia tidak wajar dijadikan hari ‘membuli’ pesaing tetapi wajar dijadikan simbol kegagalan manusia menggunakan akal fikiran yang waras untuk membina tamadun lebih baik.

Akhir kata, marilah kita harmonikan perpaduan, tolak polemik yang tidak membina demi perpaduan dan kestablian negara.

  • Andre Lai mendedikasikan sudut pandangnya sempena April Fool hari ini. Pandangan beliau tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Harapan MADANI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *