Wanita Warga Emas Pandu Kereta Di Lorong Motosikal Jambatan Ditahan

Tindakan wanita warga emas yang memandu di laluan motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah mencetuskan kebimbangan warganet.
NIBONG TEBAL, 22 Jun – Tindakan seorang pemandu wanita warga emas berusia 70 tahun yang dikesan memandu sebuah Proton X50 di lorong motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada Sabtu, membawa padah apabila ditahan polis selepas insiden berkenaan menjadi tular di media sosial.
Kenderaan terbabit dikesan menggunakan lorong berkenaan setelah tular rakaman video enam saat yang mencetuskan kebimbangan warganet.
Difahamkan, insiden berlaku di Kilometer 8.6 jambatan berkenaan, menghala dari Batu Kawan ke Batu Maung pada jam 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, hasil maklumat awal, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPS berjaya mengesan pemandu wanita tersebut sebelum membawanya ke IPD SPS untuk tindakan lanjut.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Kaedah 8(3), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana memandu di lorong yang tidak dibenarkan.
“Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, terutamanya di laluan berisiko tinggi seperti jambatan dan lorong motosikal.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan hingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
