‘Tentera Masih Lagi Diperlukan Di California’

Penunjuk perasaan tidak berganjak meskipun pentadbiran Trump menambah kekuatan pengawal negara bagi mengekang tunjuk perasaan di California pada 19 Jun 2025. Foto Reuters

LOS ANGELES, 21 Jun – Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, berkata ribuan anggota tentera yang dikerahkan ke Los Angeles bulan ini masih diperlukan, meskipun bandar yang dilanda protes itu mencatatkan keadaan yang agak tenang dalam tempoh seminggu.

Presiden Donald Trump telah menghantar kira-kira 4,000 anggota pengawal nasional dan 700 anggota marin, kononnya bagi melindungi aset serta kakitangan persekutuan, susulan demonstrasi yang tercetus akibat serbuan imigresen.

“Malangnya, kehadiran askar dan marin di sini masih amat diperlukan kerana ada kebimbangan keadaan mungkin kembali tegang,” kata Vance kepada pemberita di Los Angeles.

Ribuan pengawal negara di California masih diperlukan bagi mengekang tunjuk perasaan menangkap pendatang oleh imigresen. Foto AFP

Beliau bercakap demikian sehari selepas mahkamah rayuan memutuskan bahawa Trump boleh terus mengawal Pengawal Nasional California, yang lazimnya berada di bawah bidang kuasa Gabenor Gavin Newsom.

Pegawai California sebelum ini mengkritik keras tindakan Trump menggunakan tentera, dengan menyatakan ia hanya memburukkan keadaan dan mencetuskan ketegangan yang sepatutnya boleh ditangani oleh pihak berkuasa tempatan.

Demonstrasi yang berlaku kebanyakannya aman dan tertumpu di kawasan kecil di Los Angeles – bandar kedua terbesar di AS – namun terdapat beberapa insiden keganasan dan vandalisme.

“Jika kita biarkan perusuh mengganas dan membakar bandar-bandar di AS, maka sudah tentu kami akan menghantar penguatkuasa undang-undang persekutuan bagi melindungi rakyat yang diamanahkan kepada Presiden,” kata Vance.

Beliau menambah bahawa Trump akan menghantar pasukan tentera sekali lagi jika perlu.

“Kami tidak mahu menghantar pasukan marin hebat ini ke bandar seperti Los Angeles. Kami hanya lakukan demikian jika perlu untuk melindungi harta benda persekutuan dan nyawa penguatkuasa undang-undang kita yang cemerlang,” katanya.

Ahli politik Republikan itu turut menuduh Gabenor Newsom – yang dikatakan berpotensi bertanding jawatan Presiden bagi Parti Demokrat pada 2028 – serta Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass, menggalakkan penunjuk perasaan.

Kedua-dua mereka mengecam sekeras-kerasnya rusuhan dan keganasan terhadap pihak berkuasa, sambil menuduh pentadbiran Trump sengaja mencipta krisis di bandar berkenaan.

“Kita ada individu yang hanya menjalankan tugas mereka menguatkuasakan undang-undang, tetapi mereka berdepan perusuh yang digalakkan oleh gabenor dan datuk bandar sendiri – yang akhirnya menyukarkan tugas mereka,” kata Vance.

“Itu sangat memalukan, dan sebab itulah presiden bertindak dengan begitu tegas,” katanya.

Ramai penduduk Los Angeles marah terhadap operasi serbuan imigresen yang dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha Trump untuk mengusir sejumlah besar pendatang asing tanpa dokumen dari seluruh negara.

Kemarahan terhadap penggunaan ejen imigresen bersenjata dan bertopeng turut mencetuskan protes di bandar lain seperti San Francisco, New York, Chicago dan San Antonio, Texas.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *