Villa ‘Pijak’ Brighton 6-1

Pemain Aston Villa meraikan kemenangan besar ke atas Brighton di Villa Park sebentar tadi. Foto The Indipendent
LONDON, 30 Sep – Aston Villa mendaki ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (PL) apabila membelasah Brighton 6-1 di Stadium Villa Park, sebentar tadi.
Ia kemenangan ketiga yang dilakar skuad kendalian Unai Emery selepas menewaskan Crystal Palace 3-1 di halaman sendiri sebelum memalukan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge.
Villa bermula garang apabila mendahului tiga gol pada babak pertama dengan dua jaringan dihasilkan Ollie Watkins pada minit ke-14 dan 21 sebelum pertahanan Brighton, Pervis Estupinan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-26.
Pelawat bagaimanapun berjaya merapatkan jurang hanya selepas lima minit babak kedua bersambung menerusi Ansu Fati yang menyudahkan umpanan Joao Pedro.

Watkins bagaimanapun terus menceriakan tuan rumah apabila mencipta hatrik pada minit ke-65 sebelum dia turut membantu Jacob Ramsey meledak gol kelima Villa minit ke-85.
Tidak cukup dengan itu, Douglas Luiz melengkapkan malam gemilang Villa apabila menyumbang gol keenam pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan Villa berkongsi 15 mata bersama Brighton tetapi jatuh ke tangga keempat dengan perbezaan gol. – AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
