‘Terima Kasih Indonesia, Bakar La Lagi’ – Jerebu Punca Acara Batal

IMG_4618

Poster pengumuman pembatalan bagi acara RHB Lekas Highway Ride dimuat naik di Facebook penganjur pada 8 September 2026.

KUALA LUMPUR, 9 Sep – “Terima kasih Indonesia, bakar lagi,” luah seorang peserta yang kecewa selepas acara RHB Lekas Highway Ride yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini ditangguhkan susulan keadaan jerebu.

Rungutan itu diluahkan peserta di media sosial yang mendakwa penangguhan berkenaan menyebabkan mereka menanggung kerugian, terutama membabitkan tiket penerbangan, penginapan dan tempahan pengangkutan lebih awal.

Seorang peserta, Masrul berkata, pembatalan acara itu menyebabkan wang yang telah dibelanjakan peserta seolah-olah hangus begitu sahaja.

“Terima kasih la Indonesia, bakar lagi. Dengan duit-duit kami terbakar (rugi) sebab acara ini batal,” katanya.

Kelvin Tang pula berkata, peserta terpaksa menanggung kos tambahan selepas tiket penerbangan dan penginapan telah ditempah bagi menghadiri acara berkenaan.

“Tiket penerbangan ditambah (kos) penginapan (melayang),” katanya.

Nasir pula berseloroh mengenai keadaan yang terpaksa dihadapi peserta susulan penangguhan acara tersebut.

“Habis tinggal jerebu juga hotel…hahaha,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Nadzy Zher berkata, dia telah membuat persiapan awal termasuk menempah hotel selama dua malam serta memohon cuti bagi menghadiri acara tersebut.

“Saya telah pun menempah hotel untuk dua malam bagi acara tersebut dan memohon cuti pada hari Jumaat. Kini tarikh baharu ditetapkan secara mengejut. Ini tidak adil! Sila kekalkan tarikh asal,” tegasnya.

Peserta, Bro Amar pula berpendapat pihak kerajaan perlu mempertimbangkan pampasan kepada peserta atau pihak yang mengalami kerugian akibat penangguhan tersebut.

Keadaan jerebu di Sarawak turut merebak ke Semenanjung ekoran tiupan angin yang membawa partikel halus merentasi laut. Foto hiasan

“Kerajaan mesti memberi pampasan bagi semua kerugian yang dialami oleh pihak-pihak yang terjejas. Barulah adil,” katanya.

Peserta, Mike Vongsykeo turut mempersoalkan keputusan menangguhkan acara berkenaan kerana tarikh asal hanya tinggal dua hari lagi.

“Acara cuma ambil masa dua hingga tiga jam sahaja. Kami satu kumpulan dah beli tiket penerbangan, tempah penginapan dan uruskan pengangkutan!” katanya.

Terdahulu, pihak RHB dan Lebuh Raya Kajang – Seremban (Lekas) mengumumkan RHB Lekas Highway Ride yang dijadualkan pada 12 September 2026 ditangguhkan selepas mengambil kira keadaan jerebu semasa dan kesannya terhadap kualiti udara.

Tahap IPU di beberapa kawasan di Sarawak setakat jam 11.30 pagi 8 September 2026. Foto APIMS

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, pihak penganjur memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti keadaan jerebu serta mengambil kira aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan peserta, sukarelawan, rakan kongsi serta pihak berkepentingan.

Menurut penganjur, penangguhan itu merupakan tindakan paling bertanggungjawab bagi memastikan acara dapat berlangsung dalam keadaan selamat dan memberikan pengalaman yang baik kepada semua pihak.

“Walaupun kami turut berasa kecewa kerana terpaksa menangguhkan acara ini, kesihatan dan keselamatan peserta serta masyarakat umum harus diutamakan,” katanya.

Penganjur turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi dan mengumumkan tarikh baharu sebaik sahaja keadaan bertambah baik serta selamat untuk acara berkenaan diteruskan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web