Tuanku Muhriz Saksi Perbarisan Hari Kebangsaan 2022, Aminuddin Puas Hati Sambutan Luar Jangkaan

SEREMBAN, 31 Ogos – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berkenan menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun; barisan EXCO kerajaan negeri, para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan negeri dalam suasana penuh meriah dan berwarna-warni.


Difahamkan sebanyak 81 kontinjen merangkumi kira-kira 5,000 peserta pelbagai kaum dan agama menyertai perbarisan sambutan itu yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini.

Kontinjen perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLIC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta syarikat swasta sama ada dari dalam mahupun luar negara.


Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai oleh Mejar Muhammad Asyraf Nazarudin manakala Pegawai Panji-Panji ialah Leftenan Mohd Amir Suhaimi dan Sarjan Mejar Rejimen ialah Pegawai Waran 1, Zazulamin Zulkifli.

Istiadat KKU diiringi oleh Pancaragam Gabungan Pusat Latihan Tentera Darat (PUSASDA) dan Batalion Ke-24 RAMD yang dipimpin oleh Sarjan Azuan Zakaria.


Perarakan turut membabitkan aset artileri Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sejurus itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara manakala bacaan doa disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.


Menteri Besar Negeri Sembilan difahamkan amat berpuas hati dengan kira-kira 15,000 orang dianggarkan hadir menyaksikan persembahan dan perarakan sempena sambutan itu.

“Tahun ini kita melakukan penambahbaikan dan kehadiran orang ramai pada awal pagi menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya.


Beliau berpuas hati dengan sambutan luar jangkaan daripada rakyat yang membanjiri kawasan sekitar padang seawal jam 6.30 pagi lagi.

Ini merupakan sambutan penuh perarakan hari kebangsaan setelah dua tahun tidak dapat diadakan berikutan penularan pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.


Rata-rata para pengunjung yang menyaksikan sambutan hari kebangsaan tahun ini dapat merasakan semangat kemeriahan dan keterujaan mereka yang membawa ahli keluarga bagi meraikan perayaan paling bermakna sejak 1957 ini.

Keceriaan mereka jelas terpancar apabila menyaksikan pelbagai persembahan menarik yang ditampilkan sepanjang tiga jam lebih sambutan berlangsung yang turut disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Aminuddin mewakili kerajaan negeri menzahirkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama bertungkus-lumus menjayakan sambutan pada hari ini.

Beliau turut berharap semoga sambutan tahun ini tambah menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam jiwa rakyat Negeri Sembilan, Insya-Allah.


“Mewakili Kerajaan Negeri Sembilan, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama bertungkus-lumus menjayakan sambutan pada hari ini.

“Semoga sambutan ini menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam jiwa rakyat Negeri Sembilan, Insya-Allah,” katanya.


Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *