Singapura Salur AS$50,000 Kepada Pakistan

SINGAPURA, 31 Ogos – Kerajaan Singapura pada Rabu memaklumkan akan menyumbang US$50,000 sebagai menyokong usaha mengumpul dana awam Palang Merah Singapura (SRC) untuk krisis kemanusiaan akibat bencana banjir di Pakistan, menurut Kementerian Luar republik itu.
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan Kerajaan Singapura akan menambah ikrar SRC sebanyak S$50,000 untuk menyokong keperluan segera termasuk makanan, tempat perlindungan kecemasan, penyelesaian air bersih dan sanitasi, dan barangan kebersihan kepada komuniti terjejas.
Pakistan pada 26 Ogos dilaporkan merayu bantuan antarabangsa bagi menangani bencana banjir yang menyebabkan lebih 30 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Kerajaan wilayah dan badan meteorologi Pakistan memberi amaran bahawa air Sungai Swat dan Indus berpotensi melimpah, sekali gus mencetuskan lebih banyak kejadian banjir kilat yang menjejaskan penduduk tempatan, lapor akhbar Saudi Gazette.
Kerajaan wilayah Khyber Pakhtunkhwa telah mengisytiharkan darurat hujan di beberapa daerah di wilayah itu sehingga 30 Ogos ini.
Badan pengurusan bencana wilayah tersebut pula memberi amaran bahawa Sungai Swat mungkin menyebabkan banjir yang sangat buruk, lapor agensi berita Dawn.
Banjir di Pakistan telah menjejaskan lebih 30 juta orang dengan wilayah Balochistan dan Sindh paling teruk terjejas.
Selain itu, wilayah Khyber Pakhtunkhwa telah merekodkan 251 kematian akibat bencana itu sejak Jun lalu.
