Tentera Darat Sekat Sembilan PATI Lolos Dari Sempadan

Kesemua sembilan PATI yang ditahan Tentera Darat diusir balik ke negara asal mereka selepas laporan polis dibuat. Foto ATM

LUNDU, 21 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menyekat sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) lolos di sempadan Malaysia-Indonesia pada Rabu.

Divisyen Pertama Infantri Malaysia melalui Sel Perhubungan Raya berkata, anggota TDM bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) melaksanakan penugasan di Pos GABMA Biawak iaitu kira-kira 120 meter dari sempadan sekitar jam 2.10 petang.

Menurutnya, mereka terserempak dengan sembilan PATI yang sedang berjalan dari arah Indonesia.

“Anggota ronda telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap sembilan PATI terbabit dan hasil soal siasat mendapati kesemua PATI dalam perjalanan untuk bekerja di Malaysia.

“Pemeriksaan terhadap PATI terbabit yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.

“Anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM8,680 iaitu melibatkan wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Khamis.

Kesemua PATI telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran.

Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.

Dari Januari hingga Rabu, sebanyak 12 kali pengusiran melibatkan seramai 71 PATI telah direkodkan bagi tahun ini.

Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.

“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” ujarnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *