Tumpahan Minyak Dari Singapura Kini Cemari Perairan Johor

Para pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melakukan tinjauan tumpahan minyak mencemari pantai Teluk Ramunia dan sekitar Pengerang setelah kebocoran kapal di Singapura pada Rabu. Foto Facebook Aznan Tamin
KOTA TINGGI, 21 Jun – Kerja-kerja pembersihan susulan insiden tumpahan minyak di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia, Pengerang, di sini, Johor, diteruskan hari ini.
Ia membabitkan pencemaran di sepanjang satu kilometer (km) garis pantai, dengan anggaran 400 tan tumpahan minyak.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan, syarikat kontraktor telah dilantik untuk menggerakkan kerja-kerja pembersihan bermula pukul 9.30 pagi tadi.
Pemantauan berterusan juga dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Jabatan Laut dan agensi lain.
Jabatan Alam Sekitar Singapura (NEA) turut menyumbang kepakaran bagi memastikan insiden terbabit dapat diselesaikan dengan berkesan.
Insiden berlaku pada Jumaat lepas setelah sebuah kapal Vox Maxima dari Belanda melanggar kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura di Terminal Pasir Panjang, Singapura yang menyebabkan tumpahan kira-kira 400 tan minyak bahan api marin (MFO) 380 sulfur rendah.

Kejadian berkenaan telah menjejaskan kawasan perairan Johor terutama Sungai Rengit, Pengerang, di sini.
Anggaran kerugian akibat kematian hidupan marin belum dapat dipastikan sehingga tumpahan tersebut berjaya dibersihkan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

