Subsidi Bersasar Bahan Api: Langkah Sukar Namun Berani PM Anwar

Perutusan Negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mei lalu memutuskan supaya subsidi diesel bersasar akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah yang pastinya memerihkan namun berani untuk merasionalisasikan subsidi bahan api, tidak seperti kalangan pemimpin sebelumnya, dan menolak godaan untuk muncul sebagai populis.

Menerusi langkah sukar itu, beliau mengutamakan ekonomi dan rakyat, apabila penjimatan RM4 bilion setahun dalam merasionalisasikan subsidi diesel sahaja, adalah jumlah yang besar yang boleh dimanfaatkan untuk menambah baik kehidupan rakyat.

Namun yang lebih penting ialah rasionalisasi diesel akan mengekang penyeludupan yang berlaku sejak berdekad lamanya sehingga mengakibatkan Malaysia ketirisan berjuta-juta ringgit hampir setiap hari.

Perutusan Negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mei lalu memutuskan supaya subsidi diesel bersasar akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia. Foto Bernama

Kalangan pihak yang menentang langkah itu serta ahli politik pembangkang telah mengkritik beliau namun, sudah sampai masanya untuk seseorang mengakhiri penyeludupan diesel secara terang-terangan ke negara jiran.

Anwar berbuat sedemikian, mengambil langkah sukar dan tegas yang semua pemimpin terdahulu tidak dan enggan merasionalisasikan subsidi bahan api, sehingga mengakibatkan ketirisan melalui penyeludupan berterusan tanpa henti.

Mesej beliau ketika mengumumkan rasionalisasi diesel adalah jelas, iaitu, pembayaran subsidi berterusan secara menyeluruh yang memberi faedah kepada semua adalah tidak mampan.

Tertanya tanya sama ada pengkritik rasionalisasi itu sebenarnya telah dibutakan dengan semua penyeludupan berterusan dan kehilangan berjuta-juta ringgit, atau sebaliknya.

Jumlah wang yang dibayar untuk membiayai subsidi juga menjadi hal yang sukar dibayangkan.

Berdasarkan laporan Tinjauan Fiskal 2024 yang diterbitkan Kementerian Kewangan, jumlah perbelanjaan subsidi Malaysia melonjak daripada RM14.2 bilion pada 2010 kepada anggaran RM70.3 bilion pada 2022.

Bahagian terbesar adalah untuk subsidi bahan api, yang berjumlah RM52 bilion atau 74 peratus daripada jumlah subsidi.

Tidak dinafikan akan ada pihak yang mengambil kesempatan daripada isu itu untuk meraih manfaat politik namun, mereka tidak boleh mempertikaikan kenyataan bahawa pembayaran subsidi yang besar itu secara keseluruhannya tidak mampan, jika berlaku, mungkin hanya mewujudkan budaya pergantungan.

Sekali lagi persoalannya adalah sama ada kalangan ini begitu buta dengan semua penyeludupan yang berlaku di sepanjang sempadan Malaysia malah, jiran di selatan mengambil kesempatan daripada bahan api kita yang lebih murah.

Keterlanjuran lalu dalam menumpukan isu subsidi telah menyebabkan hutang dan liabiliti negara mencecah RM1.5 trilion atau 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung malam ini. Foto RTM

Menurut Hong Leong Investment Bank pemansuhan subsidi bahan api akan menjadikan harga di pam meningkat sebanyak 64 peratus bagi RON95 dan 61 peratus untuk diesel — masih akan menjadi yang terendah di blok Asean, kecuali Brunei.

Bank pelaburan itu menganggarkan langkah tersebut akan membawa penjimatan tahunan RM29 bilion dan secara hipotesis, akan mengurangkan defisit fiskal daripada 4.3 peratus daripada KDNK (sasaran 2024 oleh kerajaan) kepada 2.8 peratus.

Mengenai inflasi, bank itu menganggarkan setiap kenaikan 10 peratus harga RON95 dan diesel akan meninggikan Indeks Harga Pengguna sebanyak 0.51 mata peratusan pada asas setahun penuh, tambahnya.

Pujian seharusnya diberikan kepada Kerajaan MADANI kerana memutuskan untuk melakukan sesuatu yang sukar dan tidak menyenangkan yang sekian lama tertangguh serta merasionalisasikan subsidi diesel untuk meningkatkan kewangan negara dan menambah baik taraf hidup rakyat.

Perbualan sejurus pengumuman baru-baru ini kebanyakannya tertumpu pada garis masa dengan persoalan yang dibangkitkan sama ada rasionalisasi itu akan dilaksanakan atau kerajaan cuma menumpukan kepada pemindahan tunai.

Kerajaan tidak menetapkan sebarang tarikh walaupun rasionalisasi subsidi pertama kali diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024.

Namun begitu, inisiatif bagi tujuan itu akan dimulakan tahun ini dengan langkah rasionalisasi bermula dengan bahan api diesel dan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja.

Demi melindungi rakyat daripada kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang ketara, kerajaan akan terus memberi subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan bermotor diesel komersial melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barang mengikut Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Usaha itu juga akan membabitkan pengusaha bas dan teksi.

Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu.

Biarpun mekanisme itu belum dimuktamadkan lagi namun, daripada pengumuman baru-baru ini banyak pihak boleh menjangkakan formulanya mungkin melibatkan gabungan bahan api bersubsidi serta pemindahan tunai untuk kumpulan sasar.

Walaupun jika diteliti lebih mendalan, rasionalisasi itu akan menjadi satu proses yang menjerihkan, lebih mudah diungkapkan daripada dilaksanakan — kerana melibatkan beberapa kementerian, agensi, jabatan dan negeri.

Contohnya, sektor seperti perikanan, pengangkutan dan pekebun kecil berada di bawah tiga kementerian yang berbeza selain mempunyai pelbagai kategori.

Justeru, rasionalisasi terhadap subsidi — yang telah berakar-umbi dalam masyarakat Malaysia selama beberapa dekad, tidak akan semudah melambung syiling dalam tindakan untuk membuat keputusan.

Jelas ketara kerajaan melangkah secara berhati-hati untuk memastikan tiada pihak yang terpinggir.

Rasionalisasi subsidi diesel akan dilaksanakan apabila mekanisme yang betul ditetapkan dan bukan melakukannya secara tergesa-gesa.

Sudah tentu, seperti semua langkah pelaksanaan dasar, akan berlaku kesukaran jangka pendek di peringkat awal kerana kerumitan isu itu sendiri selain melibatkan sebahagian besar rakyat.

Persoalannya, sama ada rasionalisasi subsidi akan menghentikan ketirisan akibat penyeludupan.

Jawapannya, secara menyeluruh, tidak.

Kalangan pihak yang tidak bermoral akan terus mencari jalan untuk menyeludup minyak bersubsidi, terutama diesel.

Namun, berlandaskan mekanisme yang betul, kegiatan itu boleh dikekang sebanyak mungkin.

Memetik ungkapan pemimpin spiritual dan tokoh politik tersohor dari India Mahatma Gandhi, ‘dunia ini memberikan perkara yang cukup untuk memenuhi keperluan setiap insan namun, bukan untuk orang yang rakus dan tamak.’


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *