Penangguhan Pengampunan Najib: Isyarat Tegas, Tiada Ruang Kompromi

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara berikutan sabitan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sehingga 23 Ogos 2028.
PENDAPAT, 11 Sep – Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menangguhkan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang, seperti diumumkan susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) ke-63, wajar dilihat sebagai isyarat jelas bahawa tiada sesiapa—termasuk bekas pemimpin tertinggi negara, berhak menerima layanan istimewa dalam sistem keadilan jenayah.
Keputusan yang disiarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu amat signifikan kerana ia berlaku ketika Umno sedang mengadakan Perhimpunan Agung 2026 (PAU) dengan usul pengampunan penuh Najib menjadi salah satu agenda paling banyak dibangkitkan oleh perwakilan parti dalam siri-siri usul dikemukakan bahagian seluruh negara.
Sebenarnya, institusi diraja memilih untuk membuat keputusan sedemikian kerana Baginda Tuanku mempunyai hak prerogatif menurut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan bagi kesalahan yang dibicarakan di Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

Penangguhan ini turut penting kerana ia menunjukkan proses pengampunan bukanlah sekadar formaliti yang boleh dipercepatkan atas alasan kedudukan sosial atau pengaruh politik seseorang.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara berikutan sabitan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, dan sebarang keputusan tergesa-gesa berisiko menimbulkan persepsi ketidakadilan berbanding banduan lain yang tiada kuasa mempengaruhi proses undang-undang.
Walaupun kenyataan rasmi tidak memperincikan sebab khusus penangguhan tersebut, tindakan ini secara tidak langsung menegaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang tetap dihormati, tanpa mengira status atau pengaruh politik pemohon.

Ini juga menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa proses keadilan negara mudah tunduk kepada tekanan politik semata-mata, sekali gus mengukuhkan integriti institusi pengampunan sebagai mekanisme yang bebas dan bebas daripada campur tangan luar.
Daulat Tuanku!
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
