Serbuan PGA Tumpaskan Sindiket Seleweng 16 Ribu Liter Diesel Subsidi

Hasil pemeriksaan KPDN mendapati sejumlah besar minyak diesel disyaki disimpan tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia di Kota Samarahan pada 27 Mac 2026. Foto KPDN Sarawak
KOTA SAMARAHAN, 27 Mac – Arahan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kegiatan penyelewengan minyak diesel di negeri ini berhasil apabila sebanyak 16,000 liter bahan api itu dirampas dalam pembongkaran kegiatan itu dalam satu operasi di sebuah premis di sini, hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil selepas kes berkenaan dirujuk oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar minyak diesel disyaki disimpan tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Sebanyak 16,000 liter minyak diesel berjaya dirampas bersama beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Turut dirampas ialah satu unit skid tank berkapasiti anggaran 20,000 liter, lima unit tangki IBC berkapasiti 1,000 liter setiap satu, sebuah motorvan serta pam dan hos yang dipercayai digunakan untuk memindahkan bahan api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, nilai rampasan bagi minyak diesel dianggarkan sebanyak RM34,400, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk peralatan dan kenderaan mencecah RM87,560.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan mencurigakan.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan seterusnya.
Sehubungan itu, KPDN menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui saluran, WhatsApp (019-848 8000), E-mel: e-aduan@kpdn.gov.my, Call Centre: 1-800-886-800 dan Aplikasi: Ez ADU KPDN.
Oleh Jeremy Lanson
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




