ABIM Kecam Keras Kenyataan Senator Filipina, Cabar Kedaulatan Negara

Naib Presiden ABIM, Salman Mohd Yusop menegaskan bahawa Sabah ialah wilayah sah Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, dengan kedudukannya dimuktamadkan melalui proses sejarah yang sah serta pengiktirafan antarabangsa. Foto ABIM
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keras kenyataan Senator Filipina Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan ke atas Sabah dihidupkan semula, menyifatkannya sebagai provokasi politik tidak bertanggungjawab yang berpotensi menggugat kestabilan serantau serta menguji kredibiliti ASEAN.
Naib Presidennya Salman Mohd Yusop menegaskan bahawa Sabah ialah wilayah sah Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, dengan kedudukannya dimuktamadkan melalui proses sejarah yang sah serta pengiktirafan antarabangsa.
“Sebarang percubaan untuk mempersoalkan kedaulatan Sabah adalah tidak boleh diterima sama sekali dan wajib ditolak dengan tegas oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ABIM turut menyifatkan usaha menghidupkan semula tuntutan tersebut sebagai tindakan regresif yang mencabar prinsip kedaulatan negara serta mencabul semangat persefahaman dalam kalangan negara ASEAN.
Beliau berkata kenyataan berkenaan menjadi lebih membimbangkan dalam konteks semasa apabila Filipina memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN, meskipun ia tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan negara itu mahupun ASEAN.
Kegagalan untuk menjarakkan dan memperbetulkan naratif seumpama ini secara jelas berisiko menjejaskan kredibiliti kepimpinan serantau serta menimbulkan persepsi bahawa prinsip asas ASEAN, khususnya penghormatan terhadap kedaulatan dan tidak campur tangan, sedang terhakis,” katanya.
Salman menegaskan bahawa mengaitkan isu kedaulatan wilayah dengan kepentingan sumber seperti minyak adalah pendekatan sempit dan berbahaya kerana membuka ruang kepada politik oportunistik, yang boleh mencetuskan ketegangan geopolitik.
Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian lebih tegas dan jelas dalam mempertahankan kedaulatan negara melalui saluran diplomatik yang berprinsip.
Pada masa sama, kerajaan Filipina selaku Pengerusi ASEAN bertanggungjawab untuk memperbetulkan dan menjarakkan secara jelas sebarang kenyataan yang bercanggah dengan prinsip ASEAN, demi memelihara nilai keadilan, keamanan dan saling menghormati antara negara, katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




