TERKINI: Harga Minyak Melonjak, Vietnam Gantung Cukai Bahan Api

Kerajaan Vietnam menurunkan harga petrol RON95 kepada 24,332 dong (RM4.35) seliter pada Jumaat, berbanding 32,957 dong sebelum ini.
HANOI, 27 Mac – Berikutan harga petrol yang melonjak lebih satu perempat pada Jumaat, Vietnam menggantung sementara cukai alam sekitar ke atas bahan api serta mengelakkan kejutan dan kesan berantai ekonomi, menurut Kementerian Perdagangan.
Langkah drastik itu diambil susulan gangguan bekalan tenaga global susulan perang di Asia Barat yang semakin meruncing hingga menyebabkan stesen minyak mula kehabisan bekalan atau menutup terus operasi.
Menurut kenyataan kementerian, kadar cukai perlindungan alam sekitar ke atas petrol, diesel dan bahan api penerbangan akan dikurangkan kepada sifar bermula Jumaat sehingga 15 April depan.

“Ini dianggap sebagai langkah segera dan berkesan untuk menstabilkan pasaran petroleum serta menjamin keselamatan tenaga negara di tengah konflik yang semakin memuncak di Selat Hormuz, yang kini mewujudkan ‘kesesakan tenaga terbesar dalam sejarah’,” jelas kementerian itu.
Data yang dikeluarkan menunjukkan langkah tersebut akan menurunkan harga petrol sebanyak kira-kira 26 peratus, manakala harga diesel berkurang lebih 15 peratus selepas kos bahan api melambung tinggi awal minggu ini.
Kerajaan Vietnam turut menurunkan harga petrol RON95 kepada 24,332 dong (RM4.35) seliter pada Jumaat, berbanding 32,957 dong sebelum ini.
Harga diesel pula menurun kepada 35,440 dong (RM6.33) seliter.
Terdahulu, Vietnam menyelaraskan harga bahan api sebanyak dua kali pada Rabu bagi mengurangkan beban pengguna selepas kos diesel meningkat lebih dua kali ganda sejak konflik Asia Barat tercetus hujung bulan lalu.
Lonjakan harga minyak mentah sejak permulaan konflik telah mencetuskan kebimbangan mengenai krisis kekurangan bekalan di seluruh dunia.
Ia terutamanya selepas Iran bertindak menutup sebahagian daripada Selat Hormuz yang merupakan laluan perdagangan tenaga paling kritikal di dunia. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


