Sembilan Termasuk Warga China Ditahan Kes Gaduh Luar Kilang

Imej tangkap layar video tular menunjukkan pergaduhan yang berlaku di luar sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU, 28 FebSembilan pekerja kilang termasuk lima warga China ditahan hari ini, dipercayai terbabit pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, semalam.

Kejadian yang tular di media sosial itu dilapor berlaku di hadapan sebuah kilang milik syarikat luar negara, kira-kira 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, susulan laporan, semua suspek berjaya ditahan pihaknya pada 3.30 pagi, hari ini.

Katanya, tangkapan membabitkan empat lelaki tempatan dan lima warga asing untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal, kejadian dikatakan berlaku ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar selepas tamat masa bekerja, dengan seorang suspek warga China dikatakan melanggar bahu seorang pekerja tempatan, namun ia tidak diendahkan.

Imej tangkap layar video tular menunjukkan pergaduhan yang berlaku di luar sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu pada Selasa.

“Bagaimanapun, seorang lagi pekerja warga China tiba-tiba menjerit dan menunding jari ke arah pekerja tempatan terbabit sebelum mengajaknya keluar untuk bergaduh di luar kawasan kilang, sambil memegang sebatang kayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pekerja tempatan itu tidak mengendahkan ajakan pekerja asing berkenaan, namun sebaik berada di luar kilang, mangsa tiba-tiba ditumbuk dari belakang.

Katanya, kejadian mendorong berlaku pergelutan dan menjadi huru-hara apabila disertai lebih ramai individu daripada kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, pergaduhan itu dileraikan pengawal keselamatan dan pekerja lain, manakala tiada kecederaan serius dilaporkan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *