Pendakwaan Menang, Muhyiddin Masih Berdepan Kes Rasuah RM232.5 Juta

Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan rasuah terbabit. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 28 Feb – Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan rasuah terbabit.
Turut bersidang Hakim, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.
Ketika membaca keputusan secara sebulat suara tersebut, Hadhariah berkata, pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu adalah jelas dan tidak memerlukan pihak pendakwaan untuk menyatakan secara terperinci butiran lanjut atau cara kesalahan itu dilakukan.
“Sehubungan itu, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan bahawa empat pertuduhan itu tidak mendedahkan kesalahan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa, Bersatu merupakan sebuah pertubuhan parti politik seperti takrifan dalam Seksyen 3 Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.
Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh pendakwaan selaku perayu bahawa pertuduhan itu tidak cacat, hakim ini berkata, mahkamah menerima hujahan pihak berkenaan dengan menyatakan, ia sebagai suatu yang jelas.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
