Semarak Semangat Pemimpin Muda Generasi MADANI Dalam NKISS 2025

Tuan Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan Malaysia menyantuni peserta majlis Perasmian penutup Nadwah Kepimpinan Islam Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia 2025 di PCB Resort Kota Bharu Kelantan.
PENDAPAT, 28 Jun – Program Nadwah Kepimpinan Islam Sekolah Sekolah (NKISS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) anjuran Bahagian Pendidikan lslam (BPI) yang berlangsung selama empat hari baru-baru ini menjadi platform menyemarak semangat pemimpin muda generasi MADANI di Negeri Cik Siti Wan Kembang, Tanah Serendah Sekebun Bunga selaku tuan rumah NKISS KPM 2025.

Hampir 500 peserta serta pegawai bertugas berkampung bagi menjayakan program ini dengan pelbagai modul disusun seperti Till Jannah (Tautan Mahabbah), Menara MADANI, Titian Rahmah, Bicara Masa Kini bersama PDRM, Karamah Qiadiyah, Luncuran MADANI, Bicara Qiadi bersama YB Senator Dr Zulkifli Hassan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Rehlah Qiadiyah (lawatan ke tempat menarik di Kelantan seperti Muzium Negeri, Pusat Kraftangan, Pasar Siti Khadijah, Warisan Kampung Laut, Galeri Wau dan Perusahaan Budu), Eksplorasi bersama YADIM, Posisi Insani, Bicara Mahabbah dan Muhadarah (Karamah Kepimpinan).

Program ini adalah satu medium untuk mencungkil bakat murid sebagai tokoh pemimpin masa hadapan, sebagai pemimpin serba boleh dalam pelbagai kriteria yang telah ditetapkan dalam objektif penganjurannya.
Penerima anugerah utama sebagai Tokoh NKISS 2025 iaitu Anugerah Al Qawi Al Amin NKISS lelaki, Munir Zafran bin Mokhlis dari Kuala Lumpur manakala Anugerah Al Qawi Al Amin NKISS perempuan disandang Umi Kalthum binti Saiful Nizam dari Johor.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Tuan Zainal bin Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) KPM dan turut dihadiri Pengarah BPI, Omar bin Salleh, barisan kepimpinan BPI KPM, pegawai dari Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Selain Program Nadwah kepimpinan Islam sekolah sekolah KPM, BPI juga menganjurkan program lain mengikut jadual yang disusun atur sepanjang tahun bagi sekolah-sekolah di bawah kendalian KPM.

Antara negeri-negeri yang menjadi tuan rumah peringkat Kebangsaan iaitu Program Hjrah kasih (Sabah), Kem Dai Pena Muda (Pulau Pinang), Nadwah Kepimpinan Islam (Kelantan), Mahrajan Al Quran (Melaka), Program Khidmat Teladan (Johor), Festival Nasyid dan Khat (Wilayah Persekutuan Putrajaya), Ihtifal Lughawi (Kedah) dan Karnival Fitrah Murid Orang Asli (Pahang).
Majlis penutup diserikan lagi dengan persembahan Dikir Barat dari Kumpulan Cenderawasih SK Lati Pasir Mas.

Antara rakan srategik yang terlibat secara langsung dalam NKISS iaitu YADIM, PDRM, pejabat kesihatan daerah serta rakan media.
Adalah diharapkan dengan penganjuran NKISS 2025 KPM ini, semangat generasi MADANI terus diterap dan diperkasakan bagi persediaan menghadapi cabaran ummah masa depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
