Politik Keretakan Dua Alam: Jangan Biarkan Tiang Seri Perlembagaan Roboh

5bff6c1c-bd67-4ad5-9d09-f89e5261c7e7

Apakah atas nama ‘Penyatuan Ummah’ mengizinkan teras negara dipermainkan malah diperlekehkan mereka yang berkokok atas nama ‘Penyatuan Ummah’?

PENDAPAT, 10 Sep – September patutnya jadi bulan paling bangga untuk kita kenang detik pembentukan Malaysia 1963. Tapi realiti politik hari ini jauh panggang dari api.

Di sebalik pentas Putrajaya yang penuh senyuman dan janji kestabilan, ada gelora besar yang sedang berlaku – percaturan kuasa yang tanpa segan silu mula merosakkan asas perlembagaan dan integriti institusi kita.

Negara sekarang sedang berdepan fenomena politik dua alam yang berbahaya. Demi nak selamatkan kuasa jangka pendek, batas undang-undang dan etika yang jadi benteng keamanan kita selama ni dilanggar begitu saja.

Keputusan Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman berkaitan ‘Titah Adendum’ Datuk Seri Najib Razak sebenarnya dah hantar mesej yang terang. Kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ada saluran rasminya—iaitu Lembaga Pengampunan dan ia langsung tak boleh dijadikan bahan taruhan politik parti.

Belum sempat isu tersebut reda, timbul pula kekecohan tentang ‘akuan paksaan’ di Negeri Sembilan yang didakwa mengusik institusi istana dan Adat Perpatih. Bila instrumen politik dah mula dipakai untuk menekan takhta, ini bukan lagi cerita perbalahan politik biasa. Ini kerja nekat yang rosakkan daulat institusi diraja.

Di peringkat akar umbi, naratif Kerajaan Perpaduan pun makin retak. Tengok saja apa jadi di Melaka. Pendirian Pakatan Harapan (PH) yang sedia bertanding sendirian sebab tak ada kata sepakat pasal agihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) membuktikan hubungan di peringkat Persekutuan ni ibarat perkahwinan atas kertas saja.

Bagi BN pula, beberapa kemenangan dalam PRN baru-baru ni buatkan mereka kembali yakin untuk bergerak solo. Melaka hanyalah permulaan kepada perebutan kawasan yang bakal meletup menjelang PRU16.

Dalam keadaan tegang ni, timbul pula gagasan ‘Rumah Bangsa’ dan cubaan merapatkan semula hubungan Umno-Pas. Sesiapa yang faham liku-liku politik tanah air tentu tahu ini bukan soal penyatuan yang ikhlas.

Bila Umno letak syarat nak jadi pasak utama, ‘pelukan mesra’ ke arah Pas tu tak lebih dari sekadar gertakan—senjata nak tekan PH masa rundingan kerusi, selain jadi pelampung keselamatan kalau-kalau perikatan di Putrajaya ni pecah di tengah jalan.

Naratif ‘Penyatuan Ummah’ antara Umno dan Pas hanyalah sekadar kosmetik semata-mata kerana masing-masing ‘tidak tahan’ dengan ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Keadaan jadi makin serabut bila siri siasatan SPRM dan pendakwaan berprofil tinggi mula memuncak. Tindakan mengaudit dan memulihkan tadbir urus di institusi sosioekonomi seperti Tabung Haji yang dijangka melarat ke FELDA, FELCRA, dan MARA sepatutnya disambut baik sebagai langkah pembersihan yang telus demi rakyat.

Tapi bila siasatan ni meletup serentak dengan waktu politik yang tengah genting, orang mula curiga. Tuduhan yang agensi penguat kuasa dijadikan alat politik akhirnya hancur leburkan kepercayaan awam pada sistem keadilan yang patutnya bebas dari sebarang pengaruh.

Lebih parah lagi apabila pemimpin utama pembangkang, Abdul Hadi Awang, cetuskan polemik dengan dakwaan kononnya ada tawaran daripada Kedutaan Amerika Syarikat untuk jatuhkan kerajaan dulu.

Tiga laporan polis dibuat anggota KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak terhadap Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada 6 September 2026.

Bila isu sensitif melibatkan perwakilan asing ni diheret ke pentas retorik politik—sampai ada penafian rasmi dan laporan polis—ini bukan lagi modal ceramah parti. Ini dah masuk bab keselamatan nasional, mengancam kedaulatan dan hubungan baik Malaysia dengan negara luar.

Ironinya, semua sengketa ni memuncak tepat pada bulan September—ketika kita sepatutnya sambut Hari Malaysia. Hari Malaysia patut jadi masa untuk perbaharui ikrar penyatuan antara Semenanjung, Sabah, dan Sarawak, bukannya masa untuk tengok orang politik sibuk bercakaran berebut kuasa. Bapa-bapa Pengasas dulu bina persekutuan ni atas asas kedaulatan undang-undang, keutuhan institusi, and muafakat yang suci.

Memperjudikan maruah istana, kehakiman, keselamatan negara, dan institusi rakyat demi survival parti pada bulan keramat ni adalah satu keaiban besar buat negara. Malaysia tak boleh dibiarkan terus terapung dalam permainan berisiko ni. Pemimpin dari mana-mana kem pun kena sedar, kuasa tu amanah, bukan lesen untuk buat eksperimen demi kepentingan diri sendiri.

Isu pemakaian baju oren SPRM jelas menunjukkan betapa Pas hipokrit sehipokrit hipokritnya sejak beberapa pemimpin Umno dihadapkan ke mahkamah untuk proses reman bagi membantu siasatan SPRM.

Hentikanlah perangai suka menguji ketahanan perlembagaan dan integriti negara. Jangan sampai tiang seri rumah kita ni runtuh berkecai, barulah termangu-mangu nak menyesal.

Oleh Lai Chen Heng

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web