Buli: Dua Pelajar MRSM Besut Direman Tiga Hari

Lima pelajar MRSM Besut direman bagi membantu siasatan kes buli dan kini dua lagi rakan mereka turut direman pada 28 Jun 2025.
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli di sekolah berkenaan.
Perintah reman terhadap dua pelajar lelaki berusia 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Semalam, lima pelajar lelaki sekolah terbabit yang berusia antara 15 hingga 17 tahun direman sehingga esok.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar sekolah itu didakwa dibuli sekumpulan pelajar senior hingga cedera pada perut, rusuk dan belakang badan.
Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad @ Abu dipetik sebagai berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, dia diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.
Laporan perubatan dijangka dapat menentukan tahap kecederaan yang dialami mangsa selain semua pihak diminta tidak melakukan sebarang spekulasi ysng mungkin menjejaskan siasatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

