Samsung Labur RM7 Bilion Bina Kilang Bateri Kenderaan Elektrik – Aminuddin

SEREMBAN, 21 Jul – Setelah syarikat produk minuman multinasional, Fraser & Neave (F&N) berhasrat melabur bagi mengembangkan operasi, kini sebuah lagi konglomerat antarabangsa menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan mereka.

Ini berikutan syarikat gergasi dunia dari Korea Selatan, Samsung SDIEM membuat keputusan melabur sebanyak RM7 bilion bagi pembinaan sebuah kilang menghasilkan Sel Bateri Kenderaan Elektrik (EV) di Kawasan Perindustrian Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut, dekat sini yang akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025.

Perkembangan tersebut dikongsikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun yang menjelaskan, apabila siap, kilang berkenaan akan mewujudkan lebih 1,300 peluang pekerjaan untuk warga tempatan khususnya para belia di negeri ini.

Kejayaan tersebut memberi hala tuju sebenar dasar kemakmuran ekonomi sebagaimana yang telah digariskan di dalam Pelan Induk Konsep Bersepadu Negeri Sembilan 2021–2045.

“Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan kemasukan pelaburan baru yang berkualiti, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi, seperti Samsung SDIEM bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang teguh khususnya di Negeri Sembilan, sebagaimana yang telah digariskan di dalam Pelan Induk Konsep Bersepadu Negeri Sembilan tahun 2021–2045.

“Kerajaan Negeri juga menerapkan konsep dasar mesra pelabur dalam menarik pelaburan baru/pembesaran dan menerusi INVEST NS setiap projek pelaburan baru akan sentiasa diberi fasilitasi bagi memudahcara urusan setiap projek yang melabur di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin pada majlis pecah tanah pembinaan kilang tersebut pada Khamis.

Turut hadir, Duta Korea Selatan Ke Malaysia, Lee Chi Beom; Ketua Pegawai Eksekutif Samsung SDI, Yoon Ho Choi dan para pegawai kanan syarikat itu serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan dan para pegawai kanan kerajaan negeri.

Aminuddin turut berkongsi statistik jumlah pelaburan antara tempoh tahun 2017 hingga 2021, Kerajaan Negeri Sembilan berjaya meningkatkan momentum pelaburan seperti berikut:

Tahun 2017 – RM1.41 bilion.
Tahun 2018 – RM2.86 bilion.
Tahun 2019 – RM3.68 bilion.
Tahun 2020 – RM7.93 bilion (Merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah tempoh 10 tahun).
Tahun 2021 – RM5.76 bilion (Penurunan disebabkan impak pandemik Covid-19).

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Penbangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kerana sentiasa membantu dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan Negeri Sembilan terus menjadi destinasi popular pilihan para pelabur.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MIDA kerana sentiasa membantu dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan Negeri Sembilan sentiasa menjadi destinasi pilihan para pelabur.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan, dengan ini mengucapkan terima kasih kepada pihak Samsung SDI Co. Ltd atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Malaysia dan Negeri Sembilan secara khususnya.
“Kehadiran Samsung di Negeri Sembilan sebagai salah satu pelabur utama yang telah bertapak selama lebih 30 tahun telah membawa banyak manfaat kepada penduduk setempat dan saya pasti pelaburan baharu Samsung ini bakal memberi impak positif dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin lagi.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berharap hubungan baik dan kepercayaan industri di dalam dan luar negara terhadap Kerajaan Negeri Sembilan terus kukuh dan negeri ini terus menjadi destinasi pelaburan terbaik buat para pelabur dari seluruh dunia.
Sumber: Facebook Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan
Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:
Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun
Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS
Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun
