PM Itali Akhirnya Letak Jawatan!

ROM, 21 Jul – Perdana Menteri Itali, Mario Draghi akhirnya menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden, Sergio Mattarella hari ini selepas kerajaan perpaduannya berpecah.
Situasi itu secara tidak langsung menjerumuskan Itali ke dalam kegawatan politik dan ketidakstabilan pasaran kewangan.
Kenyataan dikeluarkan pejabat Mattarella memaklumkan, ketua negara itu telah ‘maklum’ mengenai peletakan jawatan itu dan meminta Draghi untuk kekal sebagai perdana menteri sementara.
Kenyataan itu tidak memaklumkan tindakan lanjut bakal dilaksanakan Mattarella.

Sumber politik berkata, awal minggu ini, beliau mungkin akan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya lebih awal, yang dijadualkan pada Oktober ini.
Mattarella bercadang bertemu ahli parlimennya di Dewan Rakyat dan Senat Republik petang ini.
Kerajaan pimpinan Draghi tumbang selepas tiga daripada rakan pakatannya menarik sokongan mereka dalam undi percaya.
Krisis politik yang melanda kerajaan ketika ini telah menamatkan tempoh kestabilan di negara itu sejak beberapa bulan lalu, di mana bekas Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) itu membantu Itali meningkatkan kedudukannya dalam pasaran kewangan.
Bon dan saham Itali dijual secara mendadak hari ini susulan pasaran bersiap sedia untuk kenaikan kadar faedah pertama daripada Bank Pusat Eropah sejak 2011.
– REUTERS
