PRU-15 – PH Gabungan Terbaik Buat Rakyat Keluar Dari Krisis Ciptaan BN, GPS – Jame Stephen

PENDAPAT, 27 Okt – Sedar atau tidak, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebenarnya menjadi penentu kepada bagaimana kelangsungan hidup rakyat sama ada di wilayah Sarawak mahupun Sabah, selain di Semenanjung.
Rakyat kini harus membuat keputusan dengan bijak berlandaskan kepada parti yang akan membawa kemajuan sebenar kepada kedua-dua wilayah ini bukan hanya untuk lima tahun mendatang, bahkan untuk generasi masa depan.
Peluang untuk rakyat di kedua-dua wilayah ini mengejar kemajuan setara dengan Semenanjung Malaysia akan tercapai jika pilihan itu dibuat dengan tepat berdasarkan gabungan parti yang sepatutnya memperjuangkan kehendak rakyat di parlimen serta melaksanakannya dengan kadar segera.
Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudahpun memerintah negeri ini selama 59 tahun. Selama itu jugalah, rakyat tidak langsung menikmati kemajuan dan pembangunan sebenar yang dilakukan oleh kedua-dua gabungan kerajaan BN mahupun GPS.
Kedua-dua parti ini terus menzahirkan kerakusan dan kezaliman kepada semua rakyat di wilayah ini dengan terus memomokan-momokan rakyat dengan kuasa politik yang mereka ada untuk menipu rakyat dengan pelbagai retorik dan janji palsu. Malah sudah menjadi kelaziman, setiap kali pilihan raya selesai, janji yang mereka suarakan itu tidak ditunaikan.

Rakyat hari ini harus sedar bahawa kedua-dua gabungan ini tidak membawa sebarang perubahan yang seharusnya dilakukan oleh sesebuah kerajaan. Rakyat juga harus diberi pencerahan bahawa kemajuan dan pembangunan di negeri ini tidak hanya boleh dilaksanakan oleh BN ataupun GPS tetapi mampu dilaksanakan oleh parti gabungan Pakatan Harapan (PH) seperti yang cuba dilakukan ketika 22 bulan berkuasa di persekutuan.
RASUAH PEMUSNAH BANGSA DAN NEGARA
Rasuah adalah isu yang paling utama yang dibangkitkan oleh PH. Negara seperti Singapura sangat maju kerana rasuah tidak berlaku di negara mereka. Negara maju akan sedaya upaya untuk mengurangkan indeks persepsi rasuah tetapi di negara kita perasuah diangkat menjadi pemimpin dan diagung-agungkan kerana mempunyai wang dan kedudukan politik.
Isu skandal 1MDB dan rasuah projek solar untuk sekolah pedalaman di wilayah Sarawak harus dilihat sebagai isu besar yang memalukan negara di mata dunia seolah tidak lagi terkawal umpama wabak Ebola.
Berbilion ringgit hasil mahsul negara dijarah untuk memperkaya diri dan keluarga mereka. Kerajaan harus membayar wang berbilion ringgit setahun untuk membayar hutang 1MDB sedangkan wang itu sepatutnya digunakan untuk kemudahan rakyat seperti projek Pan-Borneo, bekalan air bersih, pembinaan hospital dan klinik kesihatan desa serta bekalan elektrik 24 jam tanpa bergantung kepada penaja berkuasa diesel.
Dasar utama PH dalam manifesto pada PRU-15 adalah untuk memerangi rasuah. Berbeza dengan dasar yang dibawa oleh BN dan GPS iaitu kononnya menjamin kestablilan dan kemakmuran yang mana kestabilan dan kemakmuran kononnya hanya boleh dicapai jika mereka sahaja yang berkuasa tetapi ironinya retorik berkenaan langsung tidak menjadikan wilayah ini maju ke hadapan malahan rasuah sewenang-wenangnya terus berleluasa kerana merasakan mereka ‘kebal’ dari tindakan undang-undang.
SENTIMEN PERKAUMAN HARUS DIHINDAR
22 bulan sebagai kerajaan menjadikan PH sebagai parti gabungan politik yang bergerak maju ke hadapan dan berdaya saing untuk mengubah agenda politik negara kepada suara rakyat ialah suara keramat. Setiap pekara yang cuba dilaksanakan oleh PH semasa 22 bulan dikira sebagai kejayaan rakyat yang terbesar.
Kejayaan itu rupanya ditutup dengan serangan-serangan daripada pembangkang diketuai BN dan Pas yang mengasak minda rakyat menggunakan sentimen kaum dan agama sebagai senjata utama.
Tidak dilupa juga GPS sendiri sentiasa mengekori langkah mereka dengan memainkan sentimen perkauman dan kewilayahan sebagai dakyah utama menakut-nakutkan rakyat apabila merasakan rakyat mula menolak mereka perlahan-lahan secara senyap seperti sekarang.
Mereka tidak mampu membahaskan isu-isu utama negara berlandaskan fakta yang tepat. Oleh itu, sentimen perkauman dan kenegerian sahaja yang mampu dijadikan senjata utama, isu-isu pendidikan, peluang pekerjaan dan gaji yang rendah tidak langsung disebut walaupun ketika mereka menjadi kerajaan.

Begitu juga dengan GPS, mereka memomokkan rakyat dengan perkauman bahawa kuasa politik dan ekonomi dikuasai oleh orang Cina di negara ini. Mereka langsung tidak sensitif dengan rakyat di wilayah ini yang pelbagai kaum dan agama.
Mereka beranggapan kata-kata mereka itu akan memenangkan undi rakyat tetapi mereka tidak melihat bahawa dalam masa yang sama senjata tersebut mampu membunuh pemikiran rakyat tentang kaum dan agama di negeri ini.
PERJANJIAN MALAYSIA (MA63) HANYA MAINAN POLITIK GPS
Semasa menjadi pembangkang selepas PRU-14, GPS mula memainkan isu Perjanjian Malaysia (MA63). Mereka lantang menyuarakan hak di dalam parlimen dan di dalam ceramah-ceramah polititk di wilayah ini. Sebelum PRU-14, GPS hanya menjadi pak turut di dalam Barisan Nasional (BN). Mereka tidak langsung memperjuangkan tentang MA63.
Selepas kembali semula menjadi kerajaan secara rampasan kuasa melalui ‘Langkah Sheraton’, GPS segera mendiamkan diri tanpa menyebut isu-isu tentang MA63. Malahan apa yang disuarakan oleh mereka ketika menjadi pembangkang langsung tidak ditunaikan. Mereka cuba berselindung di sebalik fakta-fakta yang mereka kemukakan semasa menjadi pembangkang.
PH sedaya upaya mencari jalan penyelesaian bagaimana menyelesaikan MA63. Dasar yang utama ialah menjadikan Sabah dan Sarawak bukan negeri di bawah Persekutuan Malaysia tetapi sebagai wilayah yang setara tarafnya dengan Semenanjung Malaysia. Seperti sedia maklum, GPS menolak perkara tersebut ketika proses pengundian diadakan di parlimen.
Rakyat harus faham bahawa GPS cuba memainkan isu MA63 hanya selepas menjadi pembangkang tetapi diam ketika menjadi kerajaan.
Barangkali mereka mendapat faedah semasa menjadi kerajaan. Peruntukan berjuta-juta boleh disakau menjadikan mereka diam seribu bahasa dan MA63 cuma tinggal mainan di bibir saja.
PH PARTI MENJUARAI SUARA RAKYAT
Parti politik yang kalis masa depan adalah parti politik yang sentiasa memikirkan usaha untuk memajukan rakyat secara keseluruhannya. Isu-isu kejatuhan mata wang negara dan jaminan makanan menjadi isu yang penting diangkat oleh PH.
Di peringkat tertinggi sehinggalah ke akar umbi, parti dalam PH cuba untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah rakyat. Ia digerakkan oleh sebuah NGO bernama Ayuh Malaysia yang menjadikan lima teras utama kepada kelangsungan hidup rakyat dan negara ini.

Ketika kejatuhan mata wang negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin utama yang mendesak agar kerajaan membahaskan perkara tersebut di parlimen tetapi ditolak tanpa alasan munasabah. Mereka menolak untuk berbahas di parlimen kerana mereka tidak mampu menyanggah fakta tapi cuma berani mendesak untuk mengadakan pilihan raya segera kerana kluster mahkamah hanya menanti saat masa menerima nasib seperti Najib Razak.
Sebagai parti yang mempunyai gabungan parti politik dan gabungan politik kalis masa depan, PH akan sentiasa menyuarakan pandangan dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Berbeza dengan gabungan lain seperti BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) yang hanya berpolitik tentang isu kaum dan agama untuk dijadikan modal politik mereka.
Begitu juga dengan GPS, suara mereka hanya kedengaran ketika pilihan raya dengan menguar-uarkan kuasa politik akan dikuasai oleh sesetengah kaum jika PH menang PRU-15.
KESEDARAN DAN KEBANGKITAN RAKYAT
Rakyat di wilayah ini harus sedar dan bangkit bahawa kuasa politik adalah ditentukan oleh rakyat bukannya dipegang oleh sesetengah pemimpin. Semakin mudah mereka menang dalam pilihan raya, semakin ‘naik tocang’ lah mereka menekan kehidupan rakyat untuk jangka masa panjang.
Rakyat tidak harus termakan dengan janji-janji semasa pilihan raya oleh GPS. Mereka akan mengeluarkan apa yang mereka ada iaitu wang dan kuasa demi untuk meraih undi mereka. Hanya dengan kebangkitan dan kesedaran sahaja yang mampu untuk mengubah masa depan wilayah ini.
Untuk membangkitkan kesedaran itu, rakyat harus menyokong dan mengundi PH pada PRU-15 akan datang. PH merupakan satu-satunya parti yang sentiasa mendengar pandangan serta rintihan rakyat di wilayah ini.
Hanya PH sahaja menjadi harapan rakyat untuk keluar daripada puluhan kemelut dan krisis yang melanda negara kini yang tidak mampu diselesaikan BN jauh sekali GPS yang hanya mampu menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana kerajaan yang memerintah di peringkat pusat, berdekad lamanya.
Bangkitlah wahai rakyat Sarawak, ayuh rakyat Sabah kita bersama-sama dengan PH membawa perubahan kepada negara tercinta buat kesekian kali setelah kita mencipta sejarah menumbangkan BN buat kali pertama pada 2018 lalu dan GPS hanya dibentuk setelah keluar daripada gabungan kleptokrat itu.
– Jame Stephen ialah seorang aktivis Bintulu yang terbabit dalam NGO rakyat serta pengamat isu semasa. Pandangan beliau tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Media Rania
